Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun (kiri) menyampaikan sumbangan kepada penerima sumbangan, Selvaraju Kanniappen pada Majlis Penyampaian Sumbangan dan Bakul Prihatin Negara ketika di Taman Teluk Merbau, Sungai Pelek. Foto MOHD ADZLAN, 08 SEPTEMBER 2021.

SEPANG – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memberi jaminan akan mempercepatkan proses membentangkan Rang Undang-undang Gangguan Seksual ke Parlimen.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, ketika ini draf RUU itu masih di peringkat penelitian di pejabat Peguam Negara serta menunggu kementerian lain menghantar input sebelum dimuktamadkan.

“Bila kita nak bentangkan RUU ini, ini adalah RUU baharu, ia bukan RUU yang dipinda, sebab itu ia perlu mengambil masa.

“Sekarang masih lagi dengan pejabat Peguam Negara, dia bukan hanya di bawah KPWKM sahaja, tetapi dia melibatkan banyak kementerian,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, hari ini.

Terdahulu Rina menyerahkan Bakul Prihatin Negara kepada beberapa penerima bantuan Jabatan Kesihatan Masyarakat (JKM) dan Bakul Prihatin Negara di Taman Teluk Merbau, Sungai Pelek, di sini.

Dalam pada itu, Rina juga menggesa semua kementerian dan pihak berkepentingan menyegerakan input bagi memudahkan pihaknya membentangkan RUU itu ke Parlimen.

“Kita menggesa pihak yang berkaitan untuk mempercepat dan menyegerakan.

“Tapi apa yang lebih penting sekali adalah kesedaran, komitmen dari segi kepekaan masyarakat dan diri sendiri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast