Sebahagian pasukan anggota polis yang bertugas membawa barang-barang bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor yang dirampas untuk membantu siasatan berkenaan kes 1MDB ke dalam trak polis di Pavillion Residence, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 18 MEI 2018.- Gambar fail.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dibenarkan memeriksa 11,991 unit barang kemas yang kini disimpan dalam lebih 90 kotak di bilik kebal Bank Negara Malaysia (BNM).

Selain Najib dan Rosmah, pemeriksaan juga boleh dibuat pemilik syarikat barang kemas, Global Royalty Trading SAL dari Lubnan, Samer Halimeh.

Untuk makluman barang-barang kemas berkenaan adalah antara pelbagai barangan disita polis dari premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd di Pavilion Residences pada Mei 2018.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin hari ini menetapkan 25 Oktober sehingga 5 November depan bagi pemeriksaan barang kemas itu.

Beliau turut menetapkan syarat yang mana semua pihak terlibat perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 seperti yang telah ditetapkan kerajaan.

Muhammad Jamil membuat ketetapan itu pada prosiding pengurusan kes lucut hak terhadap Obyu Holdings, hari ini.

Menurut peguam mewakili Samer Halimah, Datuk David Gurupatham, ini juga merupakan arahan pemeriksaan kali ketiga oleh Mahkamah Tinggi namun ianya tidak dapat dilaksanakan memandangkan pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika itu.

Selain itu, anak guam beliau yang menetap di United Kingdom ketika tarikh sebelum ini diberikan memandangkan Kementerian Kesihatan (KKM) mempunyai sekatan di mana negara yang mengalami kes COVID-19 tinggi tidak dibenarkan masuk ke negara ini.

Sebelum ini ketika prosiding terdahulu juga, Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin, berkata berdasarkan simulasi yang telah dilakukan antara pihak pendakwaan, BNM dan pegawai penyiasat kes, pemeriksaan ke atas 11,991 unit barang kemas itu akan mengambil masa antara empat hingga lima hari.

Sebelum itu, pemeriksaan barang kemas itu belum dilakukan selepas Samer tidak dibenarkan memasuki Malaysia kerana sempadan negara ditutup susulan wabak COVID-19.

Bagaimanapun pada 25 Julai tahun lalu, Najib dan Rosmah telah memeriksa sebanyak 306 beg tangan, 401 jam tangan, 16 aksesori jam tangan dan 234 cermin mata yang turut disita dari premis sama.

Pada 2019, pihak pendakwaan memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap Obyu Holdings bagi menyita pelbagai barangan.

Ia termasuk 11,991 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 unit aksesori jam tangan, 234 cermin mata, 306 beg tangan serta wang tunai dalam pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,393.44.

Wang dan barang kemas itu dirampas pihak berkuasa kerana didakwa terbabit skandal dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB). – MalaysiaGazette