Yusof Tapar

SEREMBAN – Pemecatan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan Yusof Tapar dibuat mengikut perlembagaan parti, kata Timbalan Pengerusi PKR negeri Datuk M. Ravi.

Beliau bagaimanapun berkata pelucutan itu hanyalah sebagai ketua penerangan sahaja dan bukannya sebagai ahli PKR dan keputusan itu juga telah mendapat persetujuan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita memang dapat persetujuan daripada pusat, kita ada hak untuk ambil tindakan, ini kerana jawatan itu dilantik bukannya dipillih dan kita boleh pecat kerana tidak mengikut peraturan parti,” katanya di sini hari ini.

Ravi berkata parti akan berbincang dengan Yusof selepas ini dan mungkin menawarkan jawatan lain kepadanya kerana beliau adalah orang lama dalam parti.

Beliau berkata setakat ini tiada nama baharu dicalonkan untuk menggantikan Yusof dan ia hanya akan diputuskan dalam mesyuarat biro parti itu minggu hadapan.

Semalam media melaporkan Yusof dipecat daripada jawatan Ketua Penerangan PKR negeri berkuat kuasa semalam.

— BERNAMA