KUALA LUMPUR – Pertembungan dua pasukan teratas Liga Premier di antara Sarawak United menentang Negeri Sembilan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam tadi menjadi kontroversi apabila terdapat insiden pengadil diserang pemain selepas tamat perlawanan.
Pengadil utama, Mohamad Kamil Zakaria menjadi tumpuan pemain dan pegawai pasukan Sarawak United selepas seorang pemain pertahanan pasukan itu tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan dan mendakwa dirinya telah disiku oleh Francis Kone ketika jaringan kemenangan pada minit akhir perlawanan.
Malah, jurulatih Sarawak United, E. Elavarasan sempat mendedahkan kecederaan yang dialami oleh pemainnya akibat dikasari oleh penyerang import itu ketika sidang media.
Sebelum itu, terdapat satu lagi insiden panas pada minit ke-65 apabila penjaga gol Sarawak United, Sharbinee Allawee diperintah keluar padang ekoran kekasaran yang dilakukan dalam kawasan kotak penalti.
Berdasarkan rakaman video, Sharbinee didapati telah menerjah dada pemain Negeri Sembilan, Mohamad Zamri Ramli ketika sedang melompat untuk menangkap bola di udara.
Kekasaran yang dilakukan oleh penjaga gol berpengalaman itu menyaksikan Negeri Sembilan dihadiahkan sepakan penalti namun gagal disempurnakan oleh Kone apabila rembatanya melambung tinggi melepasi palang gol.
Kone juga dilayangkan kad merah selepas mengutip kad kuning kedua pada minit akhir perlawanan kerana membuka baju ketika meraikan gol kemenangan sekaligus terlepas aksi terakhir Liga Premier menentang PDRM.
Dalam aksi, hasrat skuad kendalian E. Elavarasan untuk dinobatkan sebagai Juara Liga Premier 2021 telah disekat apabila mereka tewas 0-1 kepada pelawat hasil tandukan Kone di minit akhir perlawanan.
Ia bermakna Juara Liga Premier bakal ditentukan pada perlawanan terakhir yang berlangsung pada 21 September ini. – MalaysiaGazette