Reaksi murid sekolah darjah satu balik sekolah ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekolah Rendah Bukit Bandaraya, Bangsar. Foto HAFIZ SOHAIMI, 02 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Pendekatan memecahkan kelas kepada dua kumpulan murid menjelang pembukaan sekolah pada 3 Oktober ini berkemungkinan menambah bebanan tugas pengajaran guru-guru.

Pensyarah Fakulti Pendidikan UKM, Dr Anuar Ahmad berkata, ia pastinya akan menimbulkan kekangan kepada para guru untuk merancang pembelajaran dan memastikan silibus mata pelajaran dapat diselesaikan.

“Kerajaan perlu melaksanakan kaedah penggiliran yang lebih sesuai iaitu dengan membenarkan murid-murid datang ke sekolah mengikut tahun atau tingkatan.

“Misalnya hanya murid tingkatan empat dan tingkatan lima sahaja hadir pada minggu pertama manakala pelajar tingkatan satu hingga tiga dibenarkan hadir pada minggu yang kedua,” katanya dalam satu kenyataan.

Anuar Ahmad

Tambah beliau, penyusunan semula fizikal kelas ini boleh dilakukan untuk memastikan penjarakkan fizikal dan SOP dapat dipatuhi.

Ia juga selaras dengan pengumuman kerajaan dimana sistem penggiliran kehadiran murid-murid yang diumumkan adalah dengan menghadkan hanya 50 peratus sahaja murid hadir pada satu- satu masa ke sekolah.

Dr Anuar juga menyambut baik beberapa ketetapan yang diumumkan oleh kerajaan semalam berhubung tiada keperluan pemakaian uniform sekolah dan memilih sama ada ingin menghantar anak-anak ke sekolah atau sebaliknya.

Selain itu, pemakluman berkaitan kadar vaksinasi guru dan pekerja sekolah yang telah melebihi 90 peratus pasti juga dapat menenangkan kebimbangan ibu bapa.

“Umumnya, pelan yang diumumkan KPM berhubung pembukaan sekolah dilihat lebih baik dan lebih bersedia berbanding pelan pembukaan sekolah pada bulan April 2021 yang lalu.

Bagaimanapun, antara perkara utama yang perlu diumumkan Menteri Kanan Pendidikan adalah berhubung keputusan terkini berkaitan program vaksinasi murid-murid sama ada akan diberikan keutamaan kepada murid kelas peperiksaan.

Ini sebenarnya adalah persoalan pokok yang dinantikan oleh para ibu bapa kerana tanpa vaksinasi lengkap, mereka pastiĀ  keberatan untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah bermula 3 Oktober nanti, katanya. – MalaysiaGazette