Syeikh Abdul Halim Abd. Kadir

KUALA LUMPUR – Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menggesa pihak berwajib segera mengadakan perbincangan mencari jalan penyelesaian bagi memastikan umat Islam dapat menunaikan solat fardu dan solat Jumaat tanpa sebarang halangan.

Yang Dipertuanya, Datuk Syeikh Abdul Halim Abd. Kadir berkata, perbincangan itu penting termasuk membuat semakan semula berhubung SOP supaya umat Islam yang merindui masjid dan surau untuk menunaikan tanggungjawab wajibnya sebagai umat Islam dapat dilunaskan.

Serentak itu, katanya, PUM menyambut baik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad untuk menyemak kembali dan membuat ketetapan baharu mengenai SOP masjid dan surau termasuk bilangan serta kehadiran jemaah.

“Kejadian beberapa jemaah tidak dapat menunaikan solat Jumaat di Masjid Putra, Putrajaya Jumaat lalu, menunjukkan betapa ada rakyat yang sanggup menunggu untuk melaksanakan kewajipan solat di masjid.

“Kami sedar peraturan sedia ada perlu dihormati semua pihak termasuk had jumlah bilangan tertentu dibenarkan ke masjid.

“Tetapi, jemaah perlu melalui proses pendaftaran dan sebagainya kerana peraturan itu telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama di peringkat persekutuan dan Raja-Raja Melayu yang mengetuai urusan hal ehwal agama negeri-negeri,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau mengulas video yang tular Jumaat lalu, di mana beberapa jemaah tidak dibenarkan masuk ke ruang utama solat di Masjid Putra kerana kuota ditetapkan kepada 300 jemaah sudah mencukupi.

Namun, kebetulan datang seorang VIP bersama pengawal pengiringnya telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan jemaah terbabit, menyebabkan tular video berkenaan di media sosial.

Menurut Syeikh Abdul Halim, oleh kerana urusan agama tertakluk kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu, rakyat mesti memahami keadaan itu, di mana baginda begitu prihatin soal keselamatan dan kesihatan rakyat.

Ujarnya, perkenan daripada Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku adalah diperlukan dalam sebarang perubahan SOP berkaitan agama.

“Kami nasihatkan jemaah yang tidak mendapat panggilan untuk solat di masjid atau tidak dibenarkan masuk kerana had bilangan yang ditetapkan telah mencukupi, sewajarnya melakukan solat di tempat masing-masing.

“Mereka yang tidak dapat solat Jumaat itu tidaklah dianggap berdosa di atas tindakan tersebut kerana kewajipan pihak berkuasa untuk mencegah penularan Covid-19 adalah lebih utama.

“Tindakan pengawalan ini termasuk di dalam maqasid syariah, iaitu Hifz al-Nafs (menjaga nyawa),” katanya.

Beliau turut menyambut baik cadangan kerajaan untuk berbincang dengan mufti bagi mencapai kata sepakat yang boleh dipersembahkan kepada sultan negeri-negeri selaku ketua agama bagi negeri masing-masing.

“Apa yang menarik perhatian kami adalah kesediaan kerajaan untuk mencadangkan agar surau di beberapa lokasi seperti di pejabat atau di taman perumahan dapat diberikan kelulusan sementara bagi melakukan solat Jumaat berdasarkan SOP ditetapkan,” katanya. – MalaysiaGazette