JDT II menjulang Piala Cabaran 2019 menewaskan UKM FC.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Tidak sampai beberapa jam selepas saingan Liga M3 dibatalkan oleh Liga Bolasepak Amatur (AFL), Piala Cabaran pula mengikut jejak apabila dibatalkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan tiga elemen menjadi pertimbangan untuk penilaian rapi dilakukan sebelum keputusan pembatalan itu diambil.

Katanya, tiga elemen terbabit iaitu maklum balas penaja, masalah kewangan kelab yang begitu terkesan akibat kos luar jangka sepanjang Liga Perdana dan prosedur operasi standard (SOP) yang masih tiada kelonggaran sepanjang Covid-19 memberi banyak kesan jika kejohanan terbabit diteruskan.

“Dimaklumkan Piala Cabaran terpaksa dibatalkan selepas MFL bersama pasukan-pasukan yang mengambil bahagian mencapai kata sepakat untuk membatalkan kejohanan ini.

“Sebenarnya ia bukan satu keputusan mudah sama ada membatalkan atau meneruskan tetapi atas beberapa faktor, pasukan-pasukan bersama MFL secara kolektif bersetuju agar kejohanan ini tidak diteruskan.

“Pertama, kejohanan ini daripada sudut penajaan tidak memberikan nilai tambahan bagi aspek komersial dalam Covid-19. Umum mengetahui bahawa kejohanan ini tiada siaran langsung, tambahan pula penonton masih tidak dibenarkan hadir ke stadium atas larangan pihak kerajaan.

“Faktor ketiga adalah polisi semasa kes-kes positif yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memberikan kekangan kepada pasukan bertanding.

“Jadi, pasukan bertanding mengadakan mesyuarat dalam talian bersama MFL hari ini dan selepas mengambil kira setiap aspek itu akhirnya secara kolektif bersetuju untuk kejohanan Piala Cabaran dibatalkan atas kebaikan bersama,” katanya. – MalaysiaGazette