Nasrul Ali Hasan Abdul Latif
Nasrul Ali Hasan Abdul Latif

KUALA LUMPUR – Kerajaan baharu yang berslogankan ‘Keluarga Malaysia’ didakwa mengambil sikap lepas tangan berhubung tanah yang dirizabkan kepada orang Melayu.

Menurut Ketua Bahagian Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Nasrul Ali Hasan Abdul Latif, kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan yang baharu, Datuk Seri Shahidan Kassim mengenai pendirian kerajaan amat mengejutkan.

Beliau berkata, pelbagai dasar dan pelan telah dibuat secara teori sebelum ini tetapi pelaksanaannya tidak seperti yang dirancang.

Katanya, tanah-tanah itu tergadai kepada pemaju yang belum pasti dilakukan mengikut pelan yang dirancang demi mengaut keuntungan.

“Kami kata zalim, kerana kerajaan dikatakan tidak terlibat dengan proses jual beli tanah Kampung Baru, malah pihak yang terlibat untuk rundingan adalah antara pemaju dengan pemilik tanah.

“Ini adalah satu sikap lepas tangan kerajaan terhadap tanah yang dirizabkan kepada orang Melayu, tetapi kerajaan mahu pula campur tangan untuk merampas tanah itu walaupun hanya 50 peratus daripadanya adalah pemilik yang bersetuju.

“Ini bukan sahaja zalim, ianya juga pemerintahan kuku besi yang tidak prihatin terhadap kebajikan dan kepentingan rakyat,” dakwanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah dahulu, walaupun telah mencapai 61 peratus pemilik yang bersetuju untuk membangunkan Kampong Baru, kerajaan tidak sewenangnya mengambil alih tanah itu.

Menurut Nasrul Ali Hasan, tanah Kampung Baru bukannya sembarangan tanah atau tanah yang baharu diberikan pemilikan oleh kerajaan selepas merdeka, yang sewenangnya boleh dinyahwarta atau dilucutkan hak.

Kata beliau, penama untuk tapak tanah juga ada yang melebihi 50 orang berhak terhadap tanah tersebut, selain pemilik boleh memutuskan melalui rundingan bersama pemaju untuk menjual tanah mereka.

“Bagaimanapun, perlu ada badan yang memantau dengan tegas supaya tiada pihak cuba menipu dan mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan dan akhirnya merugikan pemilik.

“Putra Bahagian Titiwangsa percaya pembangunan amat diperlukan untuk menambahbaik kawasan Kampung Baru yang terletak di tengah bandaraya Kuala Lumpur, tetapi dengan membiarkan pemilik bakal dibuli oleh pemaju adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab.

“Menteri dan kerajaan sepatutnya mengambil tanggungjawab menjaga kepentingan dan kebajikan pemilik, lebih lagi mereka adalah orang Melayu,” katanya.

Beliau berkata, penetapan nilai hartanah yang setimpal dengan lokasi dan aksesabiliti adalah penting, tetapi adakah menteri berniat untuk membiar rakyatnya merempat di bumi sendiri?

Ujarnya, tanah itu dijual mengikut nilai pemaju inginkan yang akhirnya tidak berpihak kepada pemilik tanah.

“Sudah sampai masa, satu dasar penjualan hartanah diperhalusi berkaitan status tanah yang dirizabkan kepada orang Melayu agar setaraf nilainya dengan tanah pegangan bebas.

“Kenapa mesti tanah milik orang Melayu dijual beli dengan harga lebih rendah, sedangkan sistem perhubungan sangat baik dan lokasinya sangat strategik iaitu di tengah bandaraya Kuala Lumpur?,” soal beliau.

Mengenai pembangunan di Kampung Baru, Shahidan wajar meneliti semula pembangunan yang tergendala sehingga pemilik mengalami kesukaran untuk menetap di tanah milik mereka.

Keprihatinan terhadap isu itu wajib diberi perhatian dan diutamakan bagi menambahbaik kehidupan penduduk, ujarnya.

“Sebagai contoh, isu tanah mendap melibatkan 22 premis di Kampung Pindah sehingga kini belum ada tindakan diambil oleh kerajaan, Perbadanan Kampung Baru mahupun Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Projek Pembongkaran dan Penutupan semula terowong lencongan banjir JPS di bawah kediaman ini yang telah mendapat kelulusan dan peruntukan dijangka bakal selesai dalam tempoh tiga tahun sehingga Disember 2021.

“Namun, belum dimulakan, sedangkan, kos sewa sementara penduduk bagi tempoh tiga tahun sudah hampir tamat,” katanya. – MalaysiaGazette