Mukhriz Mahathir

KUALA LUMPUR – Asalnya nama Tun Dr. Mahathir Mohamad dicadangkan sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), sebagai mana dijanjikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.

Bagaimanapun, apabila Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri, janji itu tidak dikotakan, sebaliknya memilih Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengetuai MPN.

Perkara itu didedahkan Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir ketika sesi perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) pada sidang Parlimen, petang ini.

Menurut Mukhriz, MPN asalnya dicadangkan oleh Dr. Mahathir ketika mengadap sembah YDPA tidak lama dahulu dengan dibarisi para profesional dan pakar dalam pelbagai bidang perubatan bagi menangani wabak Covid-19.

Namun, katanya, sejurus selepas itu Muhyiddin ketika memegang jawatan perdana menteri telah mengumumkan pelan pemulihan negara.

“Tak apalah, kita anggap itu mungkin ciplak idea daripada Tun Dr. Mahathir. Asalkan dapat membantu rakyat, kita tak halang.

“Kemudian Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berjumpa dengan Tun Dr. Mahathir membincangkan mengenai MPN ini dan sejurus kemudian membuat pengumuman kerajaan hendak menubuhkan MPN, tetapi melantik Muhyiddin menjadi pengerusinya.

“Jadi, perkara ini terbawa-bawa sampai kepada kerajaan baharu yang sekarang ini dipimpin oleh Ismail Sabri dan kita dikejutkan sekali lagi apabila diumumkan pula bahawa Muhyiddin terus menjadi pengerusi kepada MPN bertaraf menteri,” katanya.

Sambil ketawa kecil, beliau berkata, apakah agaknya Muhyiddin boleh lakukan sebagai pengerusi bertaraf menteri MPN yang sebenarnya tidak mampu beliau lakukan sewaktu memegang jawatan Perdana Menteri dan dengan kuasa darurat lagi.

“Kalau zaman itu pun Muhyiddin tidak boleh buat, kenapa waktu ini dia boleh buatkah?,” soal beliau.

Ahli Parlimen Jerlun itu turut menjelaskan perbezaan fungsi MPN cetuskan Dr. Mahathir dengan MPN kerajaan.

Kata beliau, MPN Dr. Mahathir ialah menggunakan idea, cetusan dan pemikiran daripada pakar dalam bidang yang relevan untuk menghasilkan satu pendekatan terbaik bagi menyelamatkan negara.

“Sebaliknya MPN kerajaan hanya 50 peratus adalah daripada pakar, manakala masing-masing 25 peratus lagi adalah Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

“Saya tidak mahu persoalkan keupayaan Ahli Parlimen atau ahli politik ini untuk menyumbang idea, tetapi ini telah dibuat pun sebelum ini dan tidak berjaya.

“Maka, saya rasa paling penting sekarang ini ialah serah bulat-bulat kepada yang pakar dalam bidang untuk mencadangkan kepada kerajaan apa langkah terbaik bagi menangani krisis yang kita hadapi ini,” katanya.

Justeru, katanya, cadangan dari beliau ialah melantik Dr. Mahathir untuk mempengerusikan MPN kerana tidak ada sebarang kepentingan politik yang hendak diletakkan.

Tegasnya, Ahli Parlimen Langkawi itu sendiri telah mengumumkan akan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi parti Pejuang sekiranya dilantik sebagai Pengerusi MPN.

“Malah, yang saya dimaklumkan apabila Ismail Sabri berjumpa Tun Dr. Mahathir sebelum dilantik Perdana Menteri telah menjanjikan jawatan pengerusi MPN. Malangnya janji itu tidak dikota,” katanya. – MalaysiaGazette