Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) bersetuju menjadi pihak berkecuali jika ada usul undi percaya kepada Perdana Menteri baharu, dengan mengenakan beberapa syarat.

Ahli Parlimen Bagan yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, tanpa syarat itu, PH tidak akan menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) Demi Rakyat dengan kerajaan pada 13 September lalu.

“Saya ingin tegaskan di sini, persetujuan pembangkang untuk MOU dengan kerajaan dua hari lalu adalah bersyarat. Jika kerajaan melanggar syarat ini, secara automatik persetujuan MOU itu terbatal.

“Dalam Belanjawan 2022 ini, kerajaan mesti adakan perbincangan dengan PH. Kita akan berikan input-input tertentu untuk dipertimbangkan.

“Kalau kerajaan ikut syarat ini dan terima input dari kami, maka kita (PH) bersedia untuk berkecuali dalam usul undi percaya kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya dalam perbahasan menjunjung kasih titah tuanku Yang di-Pertuan Agong pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Guan Eng menegaskan, PH ikhlas dan jujur apabila mahu bersama kerajaan dalam MOU tersebut kerana mereka mahukan tumpuan diberi sepenuhnya untuk melawan Covid-19 dan menyelamatkan ekonomi Malaysia.

Jelas beliau, rakyat mahu lihat ada usaha atau pendekatan dilakukan kerajaan untuk menangani Covid-19 dan kemelesetan ekonomi menerusi tawaran serta tambahan input dari blok pembangkang.

Mengenai pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri pada Mac tahun lalu, Guan Eng berkata, ianya berpunca daripada Langkah Sheraton.

“Saya tegaskan, masalah ketidakstabilan politik berpunca daripada Langkah Sheraton tahun lepas.

“Masalah lompat melompat parti ini menyebabkan ia menjadi sesuatu yang boleh digunakan sebagai senjata untuk mengugut kerajaan sekiranya tidak menurut atau mematuhi hasrat mereka.

“Begitu juga kita lihat apabila Muhyiddin hilang sokongan majoriti Ahli Parlimen yang berpunca daripada faktor permainan nombor,” katanya.

Begitu percaya Ismail Sabri juga akan menjadi mangsa dalam permainan politik dalaman sekiranya beliau tidak memenuhi kehendak mereka yang cuba mensabotaj kerajaannya sendiri.

Katanya, kerana itulah Perdana Menteri kesembilan membuat tawaran kepada pembangkang supaya perkara itu tidak berulang.

“Terus terang saya cakap, rakyat sudah penat, lelah dan letih dengan permainan politik nombor oleh pihak kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. iklhlas dan jujur konon.. ni semua kaki putar rm30 ni.. guang dengan ph semua tak boleh pakai

Comments are closed.