Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diminta menghapuskan antara 10 hingga 20 peratus jumlah hutang peminjam.

Cadangan itu dikemukakan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan memandangkan kesukaran penerima atau peminjam membuat bayaran balik berikutan kekangan pandemik Covid-19.

Kata beliau, PTPTN boleh berbuat demikian dengan mencari dana untuk melakukan pelaburan supaya keuntungannya nanti boleh menampung jumlah hutang yang sehingga kini berjumlah RM63.8 bilion daripada 3.51 juta peminjam.

“PTPTN ini adalah satu kejayaan kerajaan dalam membantu pendidikan dan diharapkan kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri kesembilan dapat membuat tawaran itu.

“Kita dapat maklum bahawa seramai 3.51 juta penerima PTPTN, yang mana anak-anak kita juga mungkin sebahagian daripada mereka, dengan jumlah dana yang telah diberikan kepada penerima ini berjumlah RM63.8 bilion.

“Memanglah, suatu yang mustahil untuk kita menghapuskan segala hutang ini, tetapi apa kata ketika dalam tempoh pandemik Covid-19 ini kita hapuskan 10 atau 20 peratus daripada hutang ini?,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, PTPTN mempunyai Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dan dana itu boleh dilabur dalam pelaburan yang selamat yang memungkinkannya menjana keuntungan bernilai ratusan billion ringgit.

Sementara itu, ketika mengemukakan 10 cadangan beliau dalam perbahasan menjunjung ucapan terima kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Ahmad yang merupakan Setiausaha Agung UMNO mahu kerajaan melaksanakan Akta Dana Politik.

Katanya, pada tahun 2016, sudah ada draf cadangan akta itu, tetapi tidak diteruskan pelaksanaannya.

“Kita mahu, dalam kerajaan baharu ini, Akta Dana Politik diaktakan agar pemberi dan penerima dana itu tidak dizalimi sebagai mana berlaku ke atas diri saya.

“Saya adalah salah seorang mangsa kezaliman dana politik yang tidak diaktakan. Itulah menyebabkan saya sekarang menjadi kluster mahkamah,” katanya berseloroh. – MalaysiaGazette