Md Amin Md Taff

KUALA LUMPUR – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan memastikan pengurusan menerima kemasukan pelajar ke kampus sama ada tempatan atau antarabangsa bermula 15 Oktober depan berjalan lancar seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Pengajian
Tinggi (KPT).

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, universiti sudah membuat persiapan untuk menerima pelajar ke kampus terutamanya Kampus Sultan Azlan Shah yang menempatkan kolej-kolej kediaman iaitu Kolej Za’ba, Kolej Harun Aminurrashid, Kolej Aminuddin Baki, kolej Ungku Omar dan Kolej Awang Had Salleh.

“Alhamdulillah, warga kampus mengalu-alukan kepulangan pelajar walaupun tidak semua, namun suasana kampus pasti sedikit berubah walaupun perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard( SOP) yang ketat seperti yang ditetapkan oleh KPT, “ katanya.

Menurut beliau UPSI akan senantiasa mematuhi dan mengikut arahan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari masa ke semasa demi kesejahteraan warga kampus.

Beliau berkata, UPSI akan memantau pelaksanaan SOP Sektor Pendidikan Tinggi: Pengoperasian IPT yang menyaksikan keberadaan warga IPT yang lengkap divaksin bagi membentuk komuniti sosial yang selamat serta mewujudkan persekitaran Fasa 4 PPN di dalam kampus.

UPSI mempunyai dua kampus iaitu Kampus Sultan Abdul Jalil Shah yang terletak di Tanjong Malim, manakala Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS) di Proton City yang menempat semua kolej kediaman.

Md Amin berharap ibu bapa tidak perlu risau dengan keadaan anak-anak mereka di kampus kerana Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Bahagian Pengurusan Risiko dan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (ROSH), serta Bahagian Keselamatan UPSI akan memantau pergerakan dan keselamatan mahasiswa.

Beliau berkata proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) akan dilaksanakan secara hibrid dengan pematuhan SOP seperti yang diluluskan oleh MKN, manakala kursus atau program yang dijalankan secara dalam talian, pelajar boleh memilih untuk meneruskan PdP dari lokaliti masing-masing.

Walau bagaimanapun, katanya, pertemuan bersemuka antara mahasiswa dengan pensyarah atau sesama mahasiswa pastinya tidak seperti dahulu kerana dibatasi oleh SOP yang ketat bagi mengelakkan sebarang jangkitan. – MalaysiaGazette