Ismail Mohamed Said

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memastikan semua warganegara dan bukan warganegara terutama di Sabah Sarawak menerima vaksinasi masing-masing supaya mereka selamat daripada dijangkiti virus Covid-19.

Namun begitu, menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Ismail Mohamed Said, dalam memastikan isu kesihatan berjalan lancar, kerajaan juga perlu menitikberatkan soal keselamatan dan kedaulatan negara, lebih lagi bagi individu yang tidak mempunyai dokumen atau kad pengenalan diri.

“Memang kerajaan hendak menggalakkan semua individu dalam negara ini mendapatkan vaksinasi supaya mereka selamat dari dijangkiti Covid-19, tetapi soal keselamatan pun kita ambil berat juga.

“Namun, kita menggalakkan mereka yang tidak mempunyai kad pengenalan diri mendaftar mengikut peraturan sedia ada dan langkah-langkah proaktif yang dilakukan oleh KDN melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Kita juga ada program Mekar iaitu turun ke kawasan pedalaman untuk mendaftarkan mana-mana individu yang belum mempunyai kad pengenalan diri melalui Op Patuh,” katanya dalam sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Parlimen, hari ini.

Menurut Ismail, KDN lebih menggalakkan majikan terutama di Sabah dan Sarawak untuk memastikan semua pekerja mereka warga asing mereka mendapatkan vaksinasi.

Ini termasuk mereka yang tidak mempunyai dokumen atau kad pengenalan diri supaya menggunakan saluran perundangan yang sah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast