Presiden Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai bercakap kepada media selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sempena Hari Kemerdekaan ke-64 di Menara PGRM, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 31 OGOS 2021.
Dr. Dominic Lau Hoe Chai.

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mencadangkan kerajaan meminda Enakmen Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan agar selaras dengan persejutuan Dewan Rakyat untuk membenarkan calon Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang berusia seawal 18 tahun.

Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, pindaan itu perlu kerana berlaku percanggahan keputusan antara Dewan Rakyat dengan Dewan Negara dalam had umur calon yang bakal bertanding pada PRU ini.

“Dewan Rakyat boleh terima cadangan Undi-18 dan boleh terima calon wakil rakyat berumur 18 tahun, tetapi Dewan Negara masih tetap dengan keputusan bahawa umur calon wakil rakyat tidak lebih daripada 30 tahun.

“Jadi, Gerakan cadangkan kepada kerajaan dan semua Ahli Parlimen meminda Enakmen Perkara 47 mengenai kelayakan menjadi Ahli Parlimen.

“Perkara 47 mengatakan tiap-tiap warganegara yang bermastautin di Persekutuan layak menjadi Ahli Dewan Negara jika dia berumur tidak kurang daripada 30 tahun, tetapi Dewan Rakyat boleh meminda kepada 18 tahun sebagaimana dipersetujui sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media secara atas talian selepas mempengerusi mesyuarat Jawatankuasa Pusat Gerakan, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Dr. Dominic Lau berharap, mesyuarat jawatankuasa pusat itu dapat diadakan secara fizikal bulan depan memandangkan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah dilonggarkan mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menurut beliau, dalam mesyuarat itu juga, Gerakan memberi perhatian serius kepada generasi muda yang akan menjadi pengundi berdaftar dan layak mengundi ketika berumur 18 tahun pada PRU 15 ini.

Katanya, parti itu memang menyokong penuh pelaksanaan umur 18 tahun sebagai pengundi yang dipinda di Parlimen mengikut Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan dan mendapat persetujuan sebulat suara pada 2019.

“Kita memang sokong kerana pindaan ini bakal menyaksikan pada PRU 15 akan datang berlaku penambahan pengundi kira-kira 50 peratus daripada 14.9 juta pengundi pada PRU 14.

“Dengan kata lain, jumlah pengundi pada PRU 15 akan memecah 32.5 juta orang selepas mengambil kira penambahan pengundi 18 tahun dan pendaftaran automatik yang akan diadakan.

“Memang besar harapan kami agar semua anak muda berusia 18 tahun ke atas dapat menjalankan hak dan tanggungjawab sebagai pemilih pada PRU akan datang dan kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi menjayakan hasrat ini,” kata beliau.

Namun, kata beliau, sebagai pengundi muda, mereka harus bergerak seiring dengan pendidikan politik kea rah meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya sistem politik negara bagi menjamin kelangsungan pemerintahan serta sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini.

Ini penting, kata Dr. Dominic Lau bahawa pendidikan itu mesti diadakan agar golongan muda perlu bebas dari elemen politik kepartian, kempen atau penyebaran sentimen kebencian bagi meraikan manfaat politik mana-mana pihak.

“Memang kita faham semasa kempen PRU, kemungkinan besar ada kemasukan isu politik kotor, tetapi kena mesti elakkannya, jangan bagi generasi baru terlibat dengannya.

“Justeru, tanggungjawab besar dan berat ini bukan saja harus ditanggung oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), tetapi juga semua pihak terutama yang berhubung secara langsung dan tidak langsung dengan golongan muda ini.

“Oleh itu, keterlibatan dalam politik ini tidak seharusnya disempitkan skopnya kepada persoalan parti semata-mata, tetapi merupakan tanggungjawab setiap warganegara untuk kelangsungan pemerintahan dan pentadbitran negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette