Barisan kepimpinan KopTNB: Dari kiri, Roszeli, Norazman, Jaafar, Rahamat, Radzmin dan Marzuki.

KUALA LUMPUR – Pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak Mac 2020 banyak mengubah landskap perniagaan dan cara koperasi beroperasi.

Koperasi Tenaga Nasional Berhad (KopTNB) umpamanya turut terkesan dengan pandemik telah mengambil langkah yang lebih proaktif bagi membolehkan anggota berurus niaga dengannya secara atas talian.

Menurut Pengerusi Koperasi TNB (KopTNB), Rahamat Abdullah, salah satu langkah diambil ialah setiap anggotanya dan orang ramai boleh memperbaharui takaful kenderaan melalui aplikasi secara atas talian.

“Untuk tujuan itu, kami menyediakan laman sesawang www.mysenang.my bagi memudahkan anggota koperasi dan orang ramai mengaksesnya,” katanya pada Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan ke-70 Koperasi TNB di sini hari ini.

Mesyuarat itu dirasmikan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Wilayah Persekutuan, Jaafar Ahmad di ibu pejabat Koperasi TNB, Jalan Bangsar secara atas talian yang dihadiri 229 perwakilan KopTNB dari seluruh negara.

Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah SKM Cawangan Wilayah Persekutuan, Nasarudin Manam; Penolong Pengarah Kanan Nasional (A) SKM, Nur Zayyani Mat Deris; Naib Pengerusi KopTNB, Datuk Nor Azman Mufti; Setiausaha KopTNB, Roszeli Majid; Bendahari KopTNB, Radzmin Shah Shahbudin; dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Koperasi TNB, Mohd Marzuki Yasoa.

Pada mesyuarat itu juga, Jaafar telah melancarkan buku “Meraikan Kejayaan Menjulang Kegemilangan” sempena Sambutan 70 Tahun KopTNB “.

Buku itu merekodkan perjalanan KopTNB dari era permulaannya dari tahun 1951 hingga 1959, era pengukuhannya (1960 hingga 1979), era kemajuannya (1980 hingga 2001), era berdaya maju dan kompetitif (2002 hingga 2011 dan era meraikan kejayaan serta menjulang kegemilangan (2012 hingga 2021).

Beliau juga turut merasmikan pembukaan Koptown ArRahnu Bangsar cawangan ArRahnu pertama KopTNB di Jalan Bangsar.

Dalam perancangannya, KopTNB sedang giat mencari lokasi baru untuk meluaskan lagi jaringan ArRahnu bagi menyediakan perkhidmatan kepada anggotanya dan orang ramai.

Acara kemuncak majlis itu ialah Jaafar menyerah trofi anugerah tempat ketujuh Profile 100 Koperasi Terbaik Malaysia kepada Rahamat.

Majlis perasmian dan penyampaian anugerah diadakan dalam tatacara serba ringkas serta mengikut garis panduan SOP yang telah ditetapkan kerajaan. – MalaysiaGazette