KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menjulang nama Malaysia apabila berjaya merangkul anugerah utama di ASEAN Energy Awards 2021 yang dianjurkan oleh ASEAN Centre for Energy (ACE), baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTeM yang menjalankan fungsi Naib Canselor UTeM, Prof Ir Dr Ghazali Omar berkata, UTeM memenangi kategori Pengurusan Tenaga (Energy Management in Large Building) dan anugerah berkenaan diumumkan pada persidangan ke 39, ASEAN Ministers on Energy Meeting (AMEM) yang diadakan di Brunei Darussalam.

AEA merupakan anugerah tertinggi di peringkat Asia Tenggara untuk mendorong dan mengiktiraf penyertaan dan minat sektor awam dan swasta dalam pembangunan tenaga di rantau Asia Tenggara.

Menyentuh tentang pencapaian berprestij UTeM ini, beliau berkata, antara faktor utama yang membawa kemenangan UTeM hingga peringkat ini adalah kerana UTeM telah membawa satu anjakan baharu yang lebih komprehensif dan unik bagi kelestarian pengurusan tenaga untuk bangunan-bangunan besar di kampus
universiti.

”Rentetan itu maka terhasilnya impak hebat kepada pengurangan penggunaan tenaga secara konsisten di samping pelaksanaan program-program efektif lain yang dijayakan bersama seluruh warga UTeM merangkumi semua staf dan pelajar dengan tagline ‘Bangkit Bersama, Cekap Tenaga’,” katanya lagi.

Sementara itu, Penolong Naib Canselor (Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti) UTeM, Prof Madya Ts Mohd Rahimi Yusoff berkata, kejayaan UTeM di pentas nasional yang berkesinambungan di peringkat Asia Tenggara ini tentunya memberikan impak besar buat UTeM dan Malaysia serta dunia.

Katanya, UTeM kini menjadi sumber rujukan kepada institusi dan organisasi lain untuk berkerjasama dalam menjayakan program kelestarian pengurusan tenaga dan turut memberikan kelebihan buat Malaysia untuk mempromosikan program pengurusan tenaga lestari di peringkat antarabangsa di samping menjadi sumber rujukan di rantau Asia Tenggara.

Tambah beliau, UTeM kini turut memfokuskan ke arah menjadi institusi yang cemerlang dalam penyelidikan dan amalan berkaitan Demand Side
Management (DSM) dan mencapai UTeM Seven Strategic Goal (SSG) untuk tempoh 5 tahun akan datang antaranya UTeM mensasarkan untuk menjadi antara 50 universiti terbaik di dunia dalam UI Green Matrix ranking. – MalaysiaGazette