Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Mohamed Rizal Kamarudin

KUANTAN – Polis sedang memburu seorang penunggang basikalyang melakukan aksi bahaya dengan mengekori rapat sebuah lori trailer di Jalan Kuantan-Gambang pada minggu lalu, seperti mana tular di media sosial.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Mohammed Rizal Kamarudin berkata, pihaknya sedang menyiasat video itu berikutan tindakan penunggang tersebut boleh mengancam keselamatan nyawa pengguna jalan raya lain.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 42 dan boleh dituduh di bawah Seksyen 54 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN :

847 saman operasi samseng jalanan di Kuantan

Polis nasihat dulu

Terdahulu tular rakaman video berdurasi 2 minit 34 saat yang dipercayai dirakam pada 17 September lalu di Jalan Kuantan – Gambang, menunjukkan seorang penunggang basikal melakukan aksi bahaya dengan mengikut rapat sebuah lori treler.

Menurut Mohammed Rizal, orang ramai telah diberi kelonggaran untuk bersukan dan beriadah termasuk melakukan aktiviti berbasikal namun terdapat antara mereka menyalah guna kelonggaran itu dengan melanggar peraturan jalan raya.

Berikutan itu, beliau menasihati penunggang basikal supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya. – MalaysiaGazette