Su Keong Siong

KUALA LUMPUR – Kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan (KKM) digesa mempercepatkan pembinaan hospital baharu  Kampar di Perak bagi menampung jumlah pesakit mendapatkan rawatan.

Ahli Parlimen Kampar, Su Keong Siong (DAP) berkata, peruntukan pembinaan hospital itu telah diluluskan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Bajet 2020 tetapi tidak dapat diteruskan berikutan berlaku ‘Langkah Sheraton’.

Beliau berkata, akibat perbezaan politik, daripada kerajaan PH kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) menyebabkan hospital yang menjadi idaman penduduk kawasan itu tidak dapat diteruskan.

“Apabila saya bertanyakan hal ini, Menteri Kesihatan (sebelum ini Datuk Seri Dr. Adham Baba dan sekarang Khairy Jamaluddin) memberi alasan sedang mengenal pasti lokasi sesuai.

“Sedangkan, lokasi yang dimaksudkan itu sudah ada. Lokasi ini sudah disediakan oleh kerajaan PH sebelum ini, tetapi dianggap oleh kerajaan PH dan kerajaan baharu Keluarga Malaysia sebagai tidak sesuai.

“Saya menjemput Menteri baharu, Khairy Jamaluddin datang ke Kampar untuk melihat sendiri lokasi yang saya maksudkan ini,” katanya pada sesi perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Parlimen hari ini.

Keong Siong berkata, dalam Bajet 2020, Menteri Kewangan ketika itu, Lim Guan Eng telah meluluskan peruntukan kira-kira RM1.6 bilion untuk pembinaan hospital baharu di Kampar dan sebuah lagi di Sabah.

Beliau berharap, Khairy dapat meneruskan pembinaan hospital baharu itu secepat mungkin kerana pesakit Covid-19 dari Kampar terpaksa di hantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan Hospital Ipoh yang agak jauh.

Jelasnya, hospital sedia ada di Kampar juga dalam keadaan daif dan tidak dapat menampung jumlah harian pesakit yang hendak mendapatkan rawatan.

“Terutama pesakit yang cedera parah dalam kes kemalangan, mereka tidak dapat dirawat di hospital lama Kampar, sebaliknya perlu dihantar ke Hospital Ipoh.

“Di sana (Hospital Ipoh), pesakit terpaksa menunggu dua hingga tiga jam sebelum mendapat rawatan. Begitu juga pesakit Covid-19 tidak dapat diberi rawatan dengan baik disebabkan tidak mempunyai kelengkapan rawatan,” katanya. – MalaysiaGazette