Jumlah harian pesakit pulih dari Covid-19 di negara ini terus mengatasi jangkitan baharu apabila sebanyak 19,702 kes pulih dilaporkan setakat pukul 12 tengah hari ini berbanding 14,990 kes baharu.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Jumlah harian pesakit pulih dari Covid-19 di negara ini terus mengatasi jangkitan baharu apabila sebanyak 19,702 kes pulih dilaporkan setakat pukul 12 tengah hari ini berbanding 14,990 kes baharu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif individu yang pulih daripada wabak tersebut kini  1,917,088 orang.

Katanya, terdapat 1,115 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) merangkumi 882 kes disahkan positif Covid-19 manakala 233 kes disyaki, kemungkinan (probable) dan kes dalam siasatan.

“Sebanyak 618 kes memerlukan bantuan pernafasan melibatkan 393 kes positif sementara 225 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

“Daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan hari ini, 338 kes atau 2.3 peratus adalah kategori 3,4 dan 5 manakala 14,652 kes (97.7 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2,” katanya menerusi kenyataan  hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, sebanyak lima kes yang dilaporkan hari ini merupakan kes import manakala 14,985 kes penularan dalam negara melibatkan 13,763 warganegara dan 1,222 bukan warganegara.

Tambah beliau, sejumlah 26 kluster baharu di kesan membabitkan 13 kluster di tempat kerja, tujuh kluster komuniti, tiga kluster pendidikan lain dan masing-masing satu kluster melibatkan institusi pendidikan swasta yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia, pendidikan tinggi serta kumpulan berisiko tinggi.

“Kluster tempat kerja dikenali Batu Empat Tapah yang meliputi daerah Batang Padang, Hilir Perak, Perak Tengah dan Kampar di Perak menyaksikan seramai 882 individu disaring dengan 131 daripadanya disahkan positif Covid-19.

“Manakala kluster komuniti yang dikesan di Kampung Sungai Gabong, Bentong, Pahang merekodkan 47 kes positif selepas 235 individu menjalani ujian saringan Covid-19,” ujarnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Covid-19: 14,990 kes positif, Selangor kembali tertinggi