Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tan Sri Noor Azlan Ghazali. foto FAREEZ FADZIL,
Noor Azlan Ghazali

KUALA LUMPUR – Proses pendigitalan sektor ekonomi adalah perkara yang kritikal dan perlu diberi perhatian dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk memastikan sektor ini kembali pulih, kata Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali.

Beliau berkata, adaptasi teknologi baharu oleh perniagaan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana akan membantu golongan itu untuk kembali beroperasi dengan lebih efisien.

“Isu paling ketara hari ini ialah berkaitan pendigitalan disebabkan oleh krisis COVID-19 dan proses pendigitalan telah berlaku dengan mendadak dan cepat termasuk penciptaan banyak pekerjaan baharu yang bersifat gig.

“Banyak aktiviti ekonomi yang memerlukan kita mengadaptasi teknologi baharu dan perkara ini kritikal untuk memastikan aktiviti ekonomi negara memenuhi keperluan asas untuk bergerak pantas dalam era ini,” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, semalam.

Noor Azlan berkata, penggunaan teknologi baharu penting dalam proses pemulihan ekonomi yang akan membuka lebih banyak peluang kepada syarikat dan perusahaan mikro untuk kembali menjalankan perniagaan dalam era endemik COVID-19.

“Melalui RMK-12, impak krisis ini perlu ditangani dengan memikirkan proses pembangunan ekonomi yang bersesuaian dengan landskap ekonomi baharu.

“Kita perlu memastikan pengusaha kecil dan sederhana ini menjalankan perniagaan mereka didasari dengan adaptasi teknologi baharu seperti perniagaan berteraskan e-dagang dan pendigitalan operasi mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Noor Azlan turut berpendapat, agenda kelestarian alam sekitar juga perlu diberi keutamaan dalam RMK-12 supaya aktiviti ekonomi yang dijalankan pada masa akan datang tidak memberi kemudaratan terhadap persekitaran.

“Sudah banyak perbincangan dan kerisauan mengenai pencemaran alam sekitar, kemampanan alam sekitar dan isu perubahan cuaca di peringkat global, justeru, RMK-12 perlu memberi perhatian yang serius terhadap isu ini,” katanya.

Pembentangan RMK-12 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadualkan pada Isnin, 27 Sept, 2021 di Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette