Abdul Kadir Sheikh Fadzir

KUALA LUMPUR – Syarat ketat dikenakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi program Malaysia Rumah Kedua Ku (MM2H) mendorong mantan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir campur tangan.

Katanya, tindakan tegas kerajaan mengundang pelbagai situasi tidak baik seperti negara kehilangan sumber ekonomi daripada program itu dan akan menyaksikan ramai berpindah ke negara lain.

Beliau kemudian mencadangkan KDN melihat dan mengkaji semula Memorandum Kabinet yang dibentangkannya sekitar tahun 2003/2004 berkaitan program MM2H itu.

Menurutnya, cadangan itu telah dialu-alukan dan diluluskan sebulat suara oleh Kabinet yang ketika itu dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Memang ketika itu, kita sedar program MM2H ini jika dilaksanakan secara bijaksana dan bersunguh-sungguh akan memberi faedah yang pelbagai dan sangat besar hasilnya kepada negara.

“Kita juga tahu pada waktu itu terlalu banyak negara maju lain yang sedang berlumba secara aktif bagi menarik pelaburan ekonomi menerusi program MM2H.

“Tujuan kementerian saya pada waktu itu adalah untuk mengendalikan sendiri program tersebut,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri KDN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang dilaporkan berkata, kira-kira 8,000 daripada 57,478 peserta prinsipal dan tanggungan program MM2H didapati tidak bermastautin di negara ini.

Hamzah dilaporkan sudah mengarahkan pegawainya menghubungi individu terbabit bagi mengetahui hasrat mereka untuk terus berada dalam program MM2H dalam negara ini.

Bagaimanapun, kenyataan itu menimbulkan rasa kecewa Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar kerana KDN dikatakan enggan menyemak semula syarat ketat MM2H.

Sultan Ibrahim menerusi kenyataan yang di muat naik menerusi akaun Facebook rasmi baginda, bertitah akan membangkitkan perkara itu secara peribadi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam tempoh terdekat.

Baginda bertitah, ia memandangkan Johor adalah antara destinasi popular MM2H, selain sumbangan program berkenaan kepada pendapatan negeri.

Mengulas lanjut, Abdul Kadir yang kini Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) berkata, objektif kementeriannya ketika itu adalah untuk menarik kira-kira 70,000 tetamu MM2H setiap tahun.

Katanya, jumlah itu bukan untuk menjadikan mereka rakyat Malaysia, tetapi sebagai pelancong jangka panjang dan berkualiti.

“Kita begitu yakin, mereka dapat mencapainya kerana mereka sudah pun mempunyai rangkaian pejabat pelancongan seluruh dunia, di samping telah lama menjalin hubungan erat dengan pelbagai pertubuhan dan persatuan berkaitan.

“Namun demikian, KDN dan Jabatan Imigresen ketika itu begitu bersungguh-sungguh hendak mengendalikannya,” kata beliau.

Katanya, sudah tentu menerusi program MM2H itu membawa masuk berbilion ringgit dalam sistem perbankan negara, selain mereka melabur dalam jumlah yang besar untuk sektor pelancongan negara. – MalaysiaGazette