Tan Cheng Hoe

KUALA LUMPUR – Skuad Harimau Malaya akan mengadakan dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Jordan dan Uzbekistan pada bulan depan sebagai persiapan menghadapi saingan Piala Suzuki AFF 2020 dan pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2023.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam mengumumkan bahawa skuad kendalian Tan Cheng Hoe, akan bertemu pasukan di kedudukan ke-93 dunia, Jordan di Stadium King Abdullah II, Amman pada 6 Oktober, jam 11 malam waktu Malaysia.

Malaysia yang menduduki ranking dunia ke-154, kemudian akan berdepan pasukan ke-84 dunia, Uzbekistan pada waktu yang sama di Stadium Antarabangsa Amman pada 9 Oktober ini.

Ia sebagai medan buat Cheng Hoe menguji pemain dan sebagai persiapan awal bagi membentuk skuad terbaik Harimau Malaya menjelang Piala AFF 2020 bermula 5 Disember hingga 1 Januari dan pusingan terakhir kelayakan Piala Asia 2023 dijangka diadakan pada Februari depan.

Bagi Piala AFF yang telah ditangguh setahun akibat Covid-19, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama juara bertahan Vietnam, Indonesia, Kemboja dan Laos.

Sementara itu, Cheng Hoe yang mengumumkan 24 pemain bagi kem latihan pusat kali ini, hanya mengekalkan 12 pemain daripada skuad yang disenaraikan bagi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE), Vietnam dan Thailand di Dubai, UAE pada Jun lalu.

Mereka adalah ketua pasukan Aidil Zafuan Abd Radzak, penjaga gol Khairulazhan Khalid, Rizal Ghazali, Dominic Tan, Dion Cools, Irfan Zakaria, Syahmi Safari, Nazmi Faiz Mansor, Akhyar Rashid, Syafiq Ahmad, Luqman Hakim Shamsudin dan Guilherme de Paula.

Bagi mengisi kekosongan itu, Cheng Hoe telah menyenaraikan enam muka baharu terdiri daripada penjaga gol PJ City FC, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi; dua pemain Penang FC, Quentin Cheng dan Al Hafiz Harun; dua pemain Selangor FC, Sharul Nazeem Zulpakar dan Mukhairi Ajmal Mahadi serta pemain Terengganu FC, Hakimi Abdullah.

Penjaga gol Melaka United FC, Khairul Fahmi Che Mat; kapten Kedah Darul Aman FC, Baddrol Bakhtiar; dua pemain Terengganu FC, Arif Fadzilah Abu Bakar dan Faisal Halim serta dua pemain Kuala Lumpur City FC, Akram Mahinan dan Kenny Pallraj antara yang kembali dipanggil untuk kembali menyarung jersi kebangsaan.

Menurut FAM, kesemua 24 pemain perlu melapor diri di Kuala Lumpur pada 1 Oktober, sebelum berlepas ke Amman pada hari berikutnya bagi menghadapi dua aksi persahabatan yang berlangsung dalam tempoh jendela perlawanan antarabangsa FIFA, dan dijadual pulang ke tanah air pada 10 Oktober. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast