Employees Provident Fund EPF i-Citra withdrawal RM5,000
Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM34.05 bilion untuk separuh tahun pertama berakhir 30 Jun 2021 (1H 2021), iaitu peningkatan sebanyak RM6.79 bilion atau 25%, berbanding RM27.26 bilion bagi tempoh yang sama pada 2020.

Jumlah pendapatan pelaburan kasar untuk suku tahun kedua (S2 2021) adalah RM14.77 bilion, RM0.35 bilion lebih rendah daripada RM15.12 bilion yang dicatatkan pada suku tahun yang sama tahun lalu.

Ekuiti terus menjadi penyumbang utama pendapatan untuk S2 2021, sebanyak RM7.89 bilion, yang merangkumi 53% daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar.

Sebagai polisi untuk mengekalkan portfolio yang sihat, KWSP telah mengamalkan turun nilai kos ke atas ekuiti tersenarai.

Turun nilai kos pada S2 2021 adalah sebanyak RM0.21 bilion berbanding RM1.66 bilion untuk suku tahun yang sama pada 2020, berikutan pemulihan pasaran global yang berterusan.

Setelah mengambil kira turun nilai kos ini, sejumlah RM14.56 bilion pendapatan pelaburan bersih telah dicatatkan pada S2 20211 iaitu 8% lebih tinggi daripada RM13.46 bilion yang dicatatkan pada S2 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, prestasi kukuh yang dicapai oleh KWSP pada 1H 2021 ini adalah dipacu oleh pemulihan progresif di pasaran ekuiti dan kebanyakan kelas-kelas aset yang lain, tatkala pasaran global mengalami kebangkitan semula.

”Pelaksanaan program vaksin COVID-19 yang sedang giat dijalankan, di samping pembukaan semula sektor ekonomi, telah meningkatkan prestasi ekuiti di pasaran maju.

“Bagaimanapun, prestasi ekuiti di pasaran baru muncul adalah lebih lembab berikutan peningkatan kes Covid-19 di beberapa negara di Asia Tenggara dan disusuli pula oleh kejatuhan harga saham yang ketara akibat tindakan pihak berkuasa China yang mengetatkan peraturan ke atas sesetengah sektor.

Instrumen Pendapatan Tetap terus menyumbang pendapatan yang stabil sebanyak RM5.28 bilion, atau 36%, kepada jumlah pendapatan pelaburan kasar pada S2 202 lebih rendah berbanding RM6.17 bilion yang dicatatkan pada S2 2020 berikutan pengurangan keuntungan dagangan, selaras dengan kadar faedah yang lebih tinggi pada S2 2021, berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Hartanah dan Infrastruktur dan instrumen Pasaran Wang, pula masing-masing mencatatkan pendapatan RM1.40 bilion dan RM0.20 bilion.

Kepelbagaian pelaburan KWSP dalam pelbagai kelas aset, pasaran dan mata wang yang berbeza terus memberikan kestabilan pendapatan dan menyumbang nilai tambah kepada pulangan keseluruhan.

Setakat akhir Jun 2021, aset pelaburan KWSP adalah berjumlah RM989.14 bilion, yang mana 37% adalah pelaburan di luar negara.

Pada S2 2021, pelaburan luar negara telah menjana pendapatan sebanyak RM8.71 bilion, iaitu 59% daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar yang dicatatkan.

KWSP berkata, sejumlah RM20.8 bilion untuk pengeluaran i-Citra telah diluluskan kepada 5 juta pemohon.

Setakat ini RM9.1 bilion telah dibayar.

Manakala untuk i-Sinar sebanyak RM55.8 bilion telah dibayar kepada 6.6 juta pencarum.

Sekitar 89% pemohon i-Sinar dan 86% pemohon i-Citra menyatakan
pengeluaran yang dibuat telah digunakan untuk menampung perbelanjaan harian atau keperluan kewangan yang mendesak. – MalaysiaGazette