Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Langkah untuk menarik semula atau mengehadkan pengeluaran lesen memandu bagi individu berusia 70 tahun ke atas akan menjadi pilihan terakhir, selepas mereka didapati tiada keupayaan memandu.

Perkara itu dijelaskan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang menyifatkan menilai seseorang hanya berdasarkan faktor umur atau merujuk kepada kes terpencil adalah diskriminasi terhadap golongan berkenaan.

Katanya, sebarang perubahan dasar berhubung lesen memandu dan cukai jalan perlu dilakukan dengan pendekatan sistematik, menyeluruh serta berdasarkan bukti kukuh.

“Merujuk kepada cadangan mengenakan syarat khas bagi pengeluaran Lesen Memandu Malaysia (LMM) kepada warga emas yang berusia 70 tahun ke atas, aspek yang lebih luas dan holistik harus dipertimbangkan, bukan sekadar tertumpu kepada faktor usia semata-mata.

“Sementara cadangan untuk mengehadkan pengeluaran LKM kepada golongan sama berupaya menimbulkan situasi lain misalnya, seseorang hanya perlu meminjam atau menggunakan kenderaan yang bukan miliknya semata-mata mahu melanggar peraturan ini jika ia dilaksanakan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook beliau hari ini.

Ka Siong berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias apabila mengesyorkan syarat khas dikenakan untuk pemegang lesen memandu dalam kalangan warga emas sebelum mereka dibenarkan memperbaharui dokumen itu.

Ka Siong berkata, pemberian LMM juga merangkumi semua kenderaan termasuk motosikal dan sekiranya ia berdasarkan kepada faktor usia sahaja, pasti akan meninggalkan banyak kesan terhadap individu termasuk mereka di luar bandar dan tidak memiliki jenis pengangkutan yang lain.

Beliau berkata, faktor sosioekonomi, khususnya mereka yang menggunakan motosikal di kampung dan pedalaman serta keperluan bagi tujuan kecemasan atau mendapatkan rawatan perubatan, perlu diambil kira.

“Isu keselamatan jalan raya membabitkan pemandu warga emas turut dihadapi oleh sebahagian besar masyarakat dunia.

“Ramai pemandu yang berumur lebih 70 tahun menunjukkan kecekapan dalam pemanduan berbanding pemandu yang lebih muda atas beberapa faktor termasuk berkaitan tahap kesihatan mereka,” katanya.

Tambah beliau, LMM diberikan kepada mana-mana individu yang menunjukkan kecekapan dan kemampuan untuk mengendalikan kenderaan di jalan raya dengan selamat seperti diperuntukkan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Katanya, Seksyen 30 Akta 333 yang berkuat kuasa pada masa ini juga menetapkan tanggungjawab kepada pemandu atau pemegang lesen untuk secara sukarela menyerahkan lesen memandu apabila mempunyai tahap kesihatan yang tidak memuaskan dan boleh membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

“Walaupun begitu, MOT menekankan bahawa setiap pemandu bertanggungjawab menggunakan kenderaan masing-masing dengan selamat mengikut undang-undang yang ditetapkan,” katanya. – MalaysiaGazette