Bangunan UTeM

KUALA LUMPURĀ  – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bersedia menerima pelajarnya yang akan mula kembali ke kampus secara fizikal bermula pada 15 Oktober ini.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTeM yang menjalankan fungsi Naib Canselor UTeM, Profesor Ir Dr Ghazali Omar berkata, sehingga kini UTeM menjangkakan menerima seramai 6,000 orang pelajar secara fizikal.

Katanya, ianya termaktub kepada golongan pelajar yang telah menerima vaksinasi lengkap dan cukup tempoh matang dalam kategori berkeperluan di samping
pematuhan penuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang diperincikan.

Jelas beliau, anggaran 6,000 pelajar itu mengambil kira 50 peratus jumlah kapasiti pelajar keseluruhan UTeM pada masa kini manakala 10 peratus daripadanya
pula merupakan anggaran jumlah yang dibenarkan bagi pelajar pascasiswazah.

”Sebanyak 4,240 penginapan ditawarkan kepada pelajar yang bekeperluan yang akan menginap di kolej kediaman manakala selebihnya akan duduk di luar kampus.

”Bagi kelulusan permohonan kolej kediaman dilaksanakan secara berfasa mengikut tarikh yang telah ditetapkan oleh UTeM dengan menggunakan Sistem Maklumat Pelajar (SMP), ujarnya lagi.

Mengulas mengenai konsep pengajaran dan pembelajaran (PdP) pula, beliau berkata, PdP di UTeM akan dilaksanakan menerusi kaedah hibrid termasuk secara dalam talian atau secara bersemuka bersesuaian dengan program akademik yang sedang diikuti oleh pelajar terbabit.

”Bagi pelajar yang berkeperluan dan tinggal di luar kampus pula boleh juga mengikuti PdP secara hibrid, dalam talian atau bersemuka mengikut kesesuaian kursus yang diambil.

”Sementara itu, bagi pelajar yang tidak kembali ke kampus pula mereka masih perlu mengikuti PdP secara dalam talian mengikut kesesuaian kursus yang diambil,” ujarnya.

Dari aspek kadar vaksinasi dalam kalangan warga kerja UTeM pula, sehingga hari ini UTeM telah mencapai sebanyak lebih 93 peratus staf nya lengkap 2 dos suntikan vaksin. – MalaysiaGazette