Pak John Steamboat & BBQ (Pak John) telah membuka cawangan keduanya di pusat membeli-belah, Tropicana Garden Mall di Damansara.

KUALA LUMPUR – Berita gembira buat peminat stimbot dan panggang apabila Pak John Steamboat & BBQ (Pak John) telah membuka cawangan keduanya di pusat membeli-belah, Tropicana Garden Mall di Damansara.

Pengarah Urusan Pak John, CS Chong berkata, restoran yang dibuka sejak awal bulan ini telah  menelan kos melebihi RM1 juta.

Beliau berkata, pihaknya memilih Tropicana Garden Mall kerana ia berdekatan bekas cawangan pertama di e-Curve yang merupakan lokasi strategik kepada pengunjung setia mereka di sana.

“Kami melakukan kajian selama terperinci apabila memilih cawangan kedua selepas cawangan e-Curve di Damansara ditutup kerana menghargai pelanggan setia di sekitar kawasan itu.

“Sebab itu kami sanggup mengambil risiko melabur membuka cawangan baharu di sebalik penularan pandemik Covid-19.

“Keistimewaan lokasi baharu ini kerana ia amat selesa kerana memiliki ruang makan di luar restoran.

“Restoran itu dibuka setiap hari bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam setiap melibatkan kakitangan seramai 15 orang,” katanya.

Tropicana Garden Mall dipilih kerana ia berdekatan bekas cawangan pertama di e-Curve yang merupakan lokasi strategik kepada pengunjung.

Chong turut mengakui, restoran kini bukan sahaja merupakan tempat bagi pengunjung meluangkan masa dan makan dengan tenang.

Malah katanya, malah ia menjadi lokasi untuk mengambil gambar terutamanya restoran yang mempunyai dekorasi unik serta menarik.

Menurutnya, sudah menjadi trend apabila pengunjung gemar berkongsi dekorasi hiasan restoran yang menarik.

“Justeru, bagi cawangan baharu ini, kami mementingkan dekorasi yang tenang dan ringkas yang berkonsepkan suasana kampung.

“Kami mahu memberi pengalaman berbeza kepada pelanggan dengan lukisan rimbunan pokok yang menghijau selain kerusi rotan yang digunakan,” katanya.

Chong juga memberitahu, restoran terbaharu itu juga berbeza dengan cawangan di pusat membeli-belah IOI City Mall, Putrajaya.

Ini kerana katanya, Tropicana Garden Mall menggunakan sistem hot pot tiga dalam satu yang menggunakan sistem ekzos sedut asap, bagi mengurangkan bau asap.

“Kapasiti restoran ini boleh memuatkan seramai 180 orang namun bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP), kami hanya membenarkan separuh sahaja untuk menikmati di sini,” katanya.

Lebih 120 menu disediakan.

Chong menambah, pihaknya menyediakan lebih 120 menu bersama 16 jenis sos termasuk pelbagai pemanis mulut seperti wafel dan air batu campur (ABC).

Pengunjung juga jelasnya boleh memilih enam jenis sup antaranya berperisa tom yam, kari, udang dan ayam termasuk yang terbaharu adalah sup kimchi.

Kini, dengan harga serendah bermula RM27.90 untuk kanak-kanak dan RM62.90 untuk dewasa bergantung hari biasa dan hujung minggu, pelanggan boleh memilih pelbagai hidangan yang sedap dan menyelerakan.

Sementara itu, para pelanggan boleh melayari Facebook dan Instagram Pak John atau menghubungi talian +60 12-705 0684 untuk mengemukakan pertanyaan.

Sejarah Pak John bermula pada tahun 2013 menerusi kios kecil dengan modal permulaan RM40,000. – MalaysiaGazette