Surat rentas negeri perlu diperolehi pelajar, ibu bapa dan guru untuk pergerakan harian rentas negeri ke sekolah dan insititusi pendidikan serta kemasukan pelajar ke asrama.

KUALA LUMPUR –┬áPara pelajar, ibu bapa, guru dan tenaga pengajar yang lain diminta menyediakan surat pengesahan untuk melakukan pergerakan harian merentas negeri untuk ke sekolah dan asrama.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Komisioner Datuk Hazani Ghazali berkata, surat pengesahan itu boleh diperoleh daripada Kementerian Pendidikan, sekolah atau institusi pendidikan terbabit.

“Surat pengesahan pergerakan untuk sekolah harian itu perlu ditunjukkan kepada petugas sekatan jalan raya ketika pemeriksaan dilakukan bagi melancarkan pergerakan masing-masing tanpa sebarang kesulitan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Hazani, arahan itu berdasarkan perkembangan baharu dari Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang mengemas kini prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pergerakan harian ke sekolah dan institusi pendidikan serta kemasukan pelajar ke asrama yang membabitkan pergerakan rentas negeri.

Menurut beliau, bagi merentas negeri, murid dan pelajar sekolah harian dibenarkan merentasi negeri untuk ke sekolah, institusi pendidikan dan asrama sekolah dengan surat pengesahan daripada Kementerian Pendidikan, sekolah atau institusi pendidikan terbabit.

“Manakala bagi pergerakan pergi dan balik ke sekolah atau institusi pendidikan oleh murid atau pelajar, mereka dibenarkan ditemani oleh seorang penjaga.

“Bagi pergerakan membabitkan guru dan tenaga pengajar ke sekolah atau institusi pendidikan bagi tujuan pengajaran atau pembelajaran (PdP), mereka dibenarkan bergerak merentas negeri dengan surat pengesahan daripada Kementerian Pendidikan, sekolah atau institusi pendidikan.

“Bagi proses kawalan kemasukan murid atau pelajar yang kembali ke asrama semula, adalah dibenarkan merentas negeri dengan menggunakan surat pengesahan sama daripada pihak berkenaan.

“Bagaimanapun jumlah di dalam kenderaan bagi tujuan pergerakan ini adalah berdasarkan kepada kapasiti kenderaan,” katanya beliau.-MalaysiaGazette