Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid

KUALA LUMPUR – Polis menerima dua laporan polis berhubung dakwaan dua pelajar sebuah sekolah di Perak yang didakwa meninggal dunia akibat suntikan vaksin seperti video tular di media sosial.

Video dirakam menggunakan aplikasi Tik Tok difahamkan berlaku dalam sebuah majlis yang diadakan sebagai tanda tidak menyokong langkah kerajaan mengenakan pengambilan vaksin kepada pelajar sekolah.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, berikutan laporan polis itu, pihaknya telah membuka dua kertas siasatan.

Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan.

“Polis Perak telah menerima dua laporan polis hari ini yang dibuat oleh pegawai pendidikan (Kesihatan) daerah Ipoh dan juga daripada Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai pada 29 September 2021.

“Laporan polis dari kedua-dua pihak itu diterima berkaitan ketidakpuasan hati pihak itu terhadap dakwaan kematian dua pelajar sekolah berkenaan adalah disebabkan suntikan vaksin Covid-19,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN:

Tambah Mior Faridalathrash, kertas siasatan turut dibuka di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan ketakutan kepada orang awam.

Justeru katanya, berdasarkan siasatan awal,  polis mendapati pelajar pertama merupakan budak perempuan Tingkatan Lima telah meninggal dunia pada 18 Ogos lalu di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) adalah disebabkan masalah kesihatan iaitu kencing manis dan positif Covid-19.

“Pelajar ini juga masih belum menerima suntikan vaksin,” katanya.

Sementara itu, pelajar kedua merupakan seorang lelaki Tingkatan Lima telah meninggal dunia pada 17 September lalu di hospital sama di Ipoh akibat masalah kesihatan jantung berlubang dan dia juga belum menerima suntikan vaksin.

“Lagi pun Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Remaja (PICK Remaja) di Perak hanya dimulakan oleh kerajaan pada 20 September lalu manakala kematian dua pelajar itu disahkan sebelum PICK Remaja dilaksanakan.

“Polis sedang menjalankan siasatan terhadap laporan yang diterima itu dari kedua-dua pihak sekolah dan pejabat pendidikan daerah untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Oleh demikian, Polis Perak ingin menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan tanpa merujuk kepada pihak yang bertanggungjawab bagi memastikan kesahihan maklumat. – MalaysiaGazette