KUALA LUMPUR – Syarikat-syarikat sedang mempercepatkan proses adaptasi teknologi digital dan menumpukan kepada latihan semula dan peningkatan kemahiran terhadap pekerja mereka dalam teknologi serta aplikasi digital.

Tinjauan Bakat Digital MDEC 2021 mendedahkan terdapat banyak syarikat telah mengadaptasi platform digital disebabkan pandemik.

Menurut dapatan tinjauan berkenaan, 48 peratus syarikat di negara ini telah mengadaptasi platform digital dalam operasi seharian mereka pada tahun ini, berbanding hanya 19 peratus pada 2020.

Menerusi perubahan ini, 85 peratus syarikat yang ditinjau telah mengenal pasti keperluan untuk melatih semula pekerja mereka.

Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) berkata, sejak beberapa tahun lalu, tumpuan telah bertukar daripada produktiviti digital dan pekerja berkemahiran jarak jauh kepada kemahiran teknikal seperti analisis data, keselamatan siber, pengkomputeran awan, pemasaran digital dan pembangunan perisian.

Keputusan tinjauan berkenaan telah dikongsi semasa Meja Bulat CEO Bakat Digital MDEC yang berlangsung di acara Malaysia Tech Month.

Sesi meja buat berkenaan melibatkan 25 orang ketua pegawai eksekutif (CEO) dan pengurusan kanan syarikat teknologi tempatan dan multinasional serta persatuan industri seperti Persatuan ICT Nasional Malaysia (PIKOM), Persatuan Digital Malaysia dan Inisiatif Penyelidikan (SERI).

Pemimpin-pemimpin industri juga berkongsi pandangan bernilai mengenai persekitaran bakat digital tempatan.

Berkenaan dengan pengambilan bakat digital, terdapat kata sepakat bahawa syarikat telah meningkatkan keutamaan mereka terhadap kemahiran berbanding kelayakan akademik.

Francesca Chia, Pengasas Bersama GoGet, berkata, syarikat cenderung untuk mengambil pekerja baharu dari akademi pengekodan atau pusat latihan berbanding graduan baharu dari universiti.

Alejandro Kikuchi, Ketua Asia Workana berkata, syarikat yang gagal memperoleh atau mengambil bakat yang berkelayakan, akan mengambil pekerja bebas
freelancers, kontrak dan pekerja jarak jauh.

Ahli-ahli panel juga membincangkan mengenai kepentingan untuk memupuk sumber bakat masa depan dan mengenal pasti keperluan syarikat untuk mengambil tindakan lebih aktif dalam menyalurkan pandangan mereka kepada kurikulum dan pembelajaran berasaskan projek.

Henrick Choo, Ketua Pegawai Eksekutif NTT MSC, menyifatkan pertumbuhan gaji bakat digital jauh lebih tinggi berbanding bakat bukan digital selari dengan pertumbuhan tahap pengalaman mereka, walaupun gaji pada peringkat permulaan mungkin sama untuk bakat digital dan bukan digital.

Pemimpin industri juga melihat lebih banyak syarikat fokus kepada mobiliti pekerja dalaman, yang mana pekerja telah dilatih semula dan ditukar peranan dalam organisasi.

Stephanie Sitt, Ketua Pegawai Eksekutif 123RF Malaysia, menegaskan walaupun kemahiran digital amat penting, tetapi kemahiran pengurusan pekerja – jika tidak lebih – penting dalam peningkatan persekitaran pekerja jarak jauh. – MalaysiaGazette