Gardenia KL menghulurkan bantuan kepada golongan terjejas pandemik Covid-19.

KUALA LUMPUR – Syarikat Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd. (Gardenia KL) telah memperuntukkan dana sebanyak RM1juta yang membantu golongan kurang berkemampuan serta barisan hadapan yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Menerusi Program Program Bantuan Covid-19 Gardenia yang memberi manfaat kepada 90,000 penerima, Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat dan Perhubungan Awam Gardenia KL, Hazlinah Harun berkata, inisiatif itu meliputi lapan fasa yang dilaksanakan dari Mac 2020 hingga Ogos 2021 melibatkan agihan lebih 500,000 produk Gardenia.

Antaranya kepada petugas barisan hadapan perubatan di 500 pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh Semenanjung, petugas barisan hadapan ekonomi seperti penghantar makanan dan barangan serta isi rumah B40.

“Bantuan turut diberikan kepada pelajar universiti yang bergantung kepada Program Food Bank Siswa di universiti mereka.

“Pek sumbangan mengan­dungi produk kegemaran ramai seperti Roti Putih Gardenia Original Classic, Kaya Auntie Rosie, Toaster Waffles, mi ku­ning Numee Gardenia, roti krim dan mufin.

“Bantuan ini juga diberikan sempena sambutan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri pula termasuk juadah tambahan seperti kurma dan biskut raya,” katanya.

Menurut Hazlinah, pihaknya percaya semua orang perlu memainkan peranan untuk membantu negara bangkit kembali daripada kesan pandemik.

“Syarikat amat berterima kasih kepada pasukan sukare­lawan kami yang bekerja keras untuk memastikan bantuan diberikan tepat pada masanya di bawah Program Bantuan Co­vid-19 Gardenia sepanjang tempoh 18 bulan lepas.

“Kami juga merakamkan penghargaan setulus ikhlas kepada rakan-rakan komuniti Gardenia KL yang memboleh­kan bantuan sampai kepada masyarakat yang paling memerlukan,” ujarnya.

Dalam pada itu kata Hazlinah lagi, pihaknya sedar usaha ke arah pemulihan adalah satu proses berterusan, maka Gardenia KL akan terus main peranan membantu masyarakat dari masa ke semasa.

“Kami juga mengambil kesempatan ini untuk menggalakkan orang ramai untuk sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi semua garis panduan kesihatan demi kesejahteraan semua.

“Kami yakin bahawa bersama-sama, kita boleh memutuskan rantaian jangkitan dan membina sebuah negara yang bingkas dan berdaya tahan,” jelasnya. – MalaysiaGazette