Persidangan PAU2021 boleh diadakan secara bersemuka atau maya, tertakluk kepada situasi Covid-19.

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Bulanan Majlis Kerja Tertinggi UMNO malam kelmarin menetapkan 13 Januari 2022 untuk Perhimpunan Agung parti itu (PAU 2021) bersidang.

PAU 2021 ditetapkan bersidang selama tiga hari sehingga 15 Januari 2022, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata, mesyuarat yang dipengerusikan Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada malam itu turut menetapkan tarikh persidangan peringkat cawangan pada 15 Oktober hingga 30 November ini.

Manakala Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian bermula 11 dan 12 Disember ini dan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian pada 18 Disember.

“Tiada pemilihan jawatan diadakan pada semua mesyuarat kerana Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) telah bersetuju mengenai penangguhan pemilihan parti sehingga 29 Disember 2022.

“Mesyuarat boleh diadakan secara bersemuka atau maya atau gabungan bersemuka dan maya mengikut situasi Covid-19 di kawasan masing-masing dengan kehadiran minimum satu per empat daripada jumlah yang layak hadir atau lebih daripada satu per empat asalkan mengikut SOP dibenarkan,” katanya. – MalaysiaGazette