Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, Datuk Abd Rahim Muda melawat kawasan kejadian kebakaran di Kampung Baru Karak di Bentong, Pahang. Foto FARHAN MAHAMD, 1 OKTOBER 2021.

BENTONG – Kerajaan Pahang akan menentukan bentuk bantuan termasuk berbentuk kewangan yang boleh disediakan untuk pemilik kepada 51 rumah dan 11 kedai yang hangus terbakar dalam kebakaran di Kampung Baru Karak di sini malam tadi.

Kesemua keluarga yang sebahagiannya tinggal sehelai sepinggang  itu kini diletakkan di Pusat Pemindahan Sementara Mangsa Kebakaran di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Karak yang terletak 100 meter dari perumahan tersebut, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pahang, Datuk Abd Rahim Muda.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, Datuk Abd Rahim Muda bercakap kepada media pada lawatan kawasan kejadian kebakaran di Kampung Baru Karak di Bentong, Pahang. Foto FARHAN MAHAMD, 1 OKTOBER 2021.

Beliau yang mewakili Menteri Besar turun padang meninjau keadaan mangsa kebakaran dan telah mengarahkan Pegawai Daerah Pejabat Tanah dan Galian Bentong, Datuk Zulkifli Hashim untuk mengambil tindakan sewajarnya dengan kadar segera untuk membantu kesemua mangsa.

“Ada yang mengadu kepada saya semasa lawatan mereka tinggal sehelai sepinggang dan tidak mempunyai pakaian ganti kerana segalanya musnah dalam kebakara, maka saya mengarahkan pegawai daerah bertindak segera selain bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dibekalkan buat masa ini sebelum bantuan MB Pahang menyusul.

“Saya juga meminta supaya nama dan butiran semua keluarga yang terjejas dikumpul segera kepada mesyuarat jawatankuasa bersama Menteri Besar Pahang untuk membincangkan bentuk bantuan susulan yang boleh disediakan.

“Sudah pasti bantuan dalam bentuk peruntukan kewangan akan menyusul dari MB untuk mangsa kebakaran, cuma jumlahnya kita tak pasti, itu akan dibincang dan ditentukan beliau (MB) nanti,” katanya ketika ditemui pemberita di Dewan SJKC Karak di sini hari ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang dijadualkan turun padang meninjau mangsa banjir tidak dapat hadir kerana terlibat dengan program bersama Menteri Kewangan Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di Parlimen Bera dan Kuala Lipis hari ini.

Abd Rahim meminta semua pemilik perumahan lama di sini sentiasa memeriksa sistem pendawaian elektrik di rumah lama mereka secara berkala bagi mengelak kejadian yang sama berulang.

Ditanya dakwaan penduduk bahawa tekanan air yang rendah di lokasi kejadian menyukarkan pasukan bomba memadamkan kebakaran, beliau memaklumkan usia perumahan yang lebih 60 tahun dan sistem paip yang lama yang mungkin tersumbat memaksa bomba mengambil masa yang lama mengawal kebakaran.

Bagaimanapun, pihaknya akan meneliti perkara tersebut sambil meminta pejabat tanah Bentong, Majlis Daerah Bentong dan juga bomba negeri mengenalpasti kawasan-kawasan perumahan yang berisiko tekanan air rendah.

“Saya juga mahu semua sistem paip perumahan lama sebegini diperiksa secara berkala lebih kerap selepas ini mengelak insiden sama berulang,” tegasnya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Bomba siasat dakwaan premis simpan mercun, litar pintas punca kebakaran