Datuk Arjunaidi Mohamed

KUALA LUMPUR – Dakwaan laman sesawang, Numbeo, yang menyenaraikan Klang, Selangor sebagai bandar yang paling tidak selamat dan memiliki kadar keselamatan paling rendah di Asia Tenggara adalah tidak benar.

Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, laporan laman sesawang itu bersifat mengelirukan serta tak berasas.

Katanya, maklumat yang terkandung dalam artikel Numbeo berkaitan indeks jenayah dan indeks keselamatan tidak dapat dipastikan kesahihan serta sumbernya.

“Kaedah kajian secara kualitatif dan kuantitatif serta bilangan responden juga tidak menggambarkan atau mewakili keseluruhan masyarakat di daerah Klang.

“Polis Kontinjen Selangor ingin memaklumkan kepada masyarakat bahawa berita yang disiarkan laman Numbeo mendakwa Klang bandar paling tidak selamat di Asia Tenggara adalah mengelirukan dan tidak benar sama sekali,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, mengikut statistik Polis Kontinjen Selangor bagi tempoh 1 Januari hingga 30 September lalu, jenayah kekerasan di daerah berkenaan melebihi nilai ambang sebanyak 31.76 kes atau bersamaan dengan 6 peratus.

Katanya, jenayah harta benda pula berada di bawah nilai ambang iaitu 195.44 kes atau bersamaan 13 peratus untuk tempoh yang sama.

“Secara keseluruhannya sepanjang tempoh itu, daerah Klang berada di bawah nilai ambang sebanyak 163.68 peratus bersamaan lapan peratus.

“Sehubungan itu orang ramai dinasihatkan agar tidak gusar atau bimbang dengan laporan yang dikeluarkan oleh laman sesawang tersebut kerana ianya tidak menggambarkan statistik dan fakta sebenar kejadian jenayah yang berlaku di daerah Klang,” ujar beliau. – MalaysiaGazette