Former Deputy Prime Minister cum President of UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi leaves the Kuala Lumpur Court Complex after the proceeding of his criminal breach of trust, power abuse and money-laundering trial involving Yayasan Akalbudi foundation. PIX: FARHAN MAHAMAD / MalaysiaGazette / 06 SEPTEMBER 2021.
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau tidak kisah sekiranya kerajaan negeri yang dipimpin parti itu kehilangan kerajaan berikutan kemelut politik yang berlaku.

Sebaliknya, beliau lebih bersetuju sekiranya diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) daripada bertukar kerajaan mengikut majoriti undi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebagai mana berlaku di peringkat pusat baru-baru ini.

“Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12 akan tamat pada 2027 dan ketika itu kita akan melalui satu Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“Atau, kalau kita bernasib baik, mungkin kita ada dua pilihan raya (termasuk PRN Melaka), tetapi yang PRU itu, harap tidaklah berlaku satu penggal sehingga melahirkan tiga Perdana Menteri,” katanya.’

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan RMK-12 di Parlimen, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk memberitahu, baginya tidak mengapa kehilangan kerajaan negeri yang dikuasai oleh parti UMNO.

“Tetapi tunggulah, saya fikir elok adakan pilihan raya negeri yang baru supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan dan kita berikan semula mandat kepada rakyat memilih, manakah kerajaan yang terbaik untuk mentadbir negeri dan negara,” katanya.

Media hari ini melaporkan, Pakatan Harapan (PH) Melaka dan empat ADUN yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berhasrat bertemu Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Menurut Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari, pertemuan itu penting bagi memastikan kestabilan politik di negeri itu kembali tenang.

Seramai 11 ADUN PH dengan ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron yang mewakili empat ADUN berhasrat mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertua Negeri Melaka.

Ia bagi membincangkan mengenai usaha yang boleh diambil bagi memastikan kesinambungan politik negeri dan kesinambungan pentadbiran kerajaan akan dapat diteruskan.

Menurut Ahmad Zahid, apa yang berlaku di Melaka sekarang ini diharapkan tidak menular dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette