Sijil akreditasi tersebut disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad kepada Naib Canselor, Prof. Dato' Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman, disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran dan Timbalan Naib  Canselor Akademik dan Antarabangsa UKM, Prof. Dr. Mohammad Kassim.

KUALA LUMPUR – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi Universiti Awam pertama menerima sijil akreditasi APEL oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi melaksanakan Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu bagi Tujuan Penganugerahan Kelayakan Akademik (APEL.Q) bagi program Sarjana Pengurusan Keselamatan Industri (Fakulti Sains dan Teknologi) dan Sarjana Keselamatan Siber (Fakulti
Teknologi dan Sains Maklumat).

Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan berkata, penerimaan akreditasi APEL oleh UKM itu adalah pencapaian yang membanggakan kerana UKM adalah satu-satunya Universiti Awam yang
menerima pengiktirafan itu.

“Penilaian untuk akreditasi ini bukan mudah, banyak perkara yang perlu diambil kira. Ia melibatkan tiga siri pentaksiran yang ditetapkan iaitu Penilaian Portfolio, Lawatan dan Pengesahan di Lapangan, dan Ujian Cabaran, serta sesi representasi bersama MQA dan panel penilai.

“Alhamdulillah UKM berjaya membuktikan bahawa universiti watan ini sentiasa bersedia mengharungi cabaran itu dan hari ini kita diiktiraf sebagai Universiti Awam pertama yang
menerima kelulusan APEL.Q ini.

“Tahniah UKM. Terima kasih kepada Pusat Jaminan Kualiti, Pusat Pengurusan Akademik, Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan & Profesional serta Pusat Pembangunan Profesional dan Kepimpinan dan semua yang telah berusaha untuk mendapatkan akreditasi ini,” katanya.

Beliau berkata, UKM akan memastikan bilangan program yang boleh melaksanakan APEL.Q bertambah dari semasa ke semasa bagi menyokong aspirasi negara untuk memperkasa pembelajaran sepanjang hayat.

APEL.Q adalah proses penilaian pembelajaran formal, tidak formal dan bukan formal bagi seseorang individu berdasarkan pengalaman terkumpul (pengetahuan dan kemahiran) untuk
mendapatkan kelayakan akademik bagi program yang dimohon.

Kelulusan APEL.Q yang diberikan oleh pihak MQA kepada UKM ini adalah bagi tempoh lima tahun iaitu daripada 24 Ogos 2021 hingga 23 Ogos 2026. – MalaysiaGazette