Pesawat A321neo

KUALA LUMPUR – AirAsia Group (AAG) menandatangani perjanjian pindaan dengan Airbus S.A.S (Airbus) untuk menukar baki tempahan pesawatnya kepada A321neo.

Pindaan ini mengukuhkan komitmennya untuk menukar jenis pesawat utama A320 kepada A321neo yang mempunyai kapasiti lebih besar dan menawarkan lebih penjimatan bahan api.

AAG berkata, perjanjian tersebut menandakan komitmen AirAsia untuk menempah model terbesar dalam kategori pesawat A320.

Pesawat A321neo yang mempunyai sehingga 236 tempat duduk dengan lorong tunggal, membolehkan AirAsia meningkatkan kapasiti dan memanfaatkan kos operasi terendah dalam kategori lorong tunggal.

Ia dilengkapi dengan Space-Flex Cabin Airbus yang menjadikan konfigurasi kabin lebih efisien, pesawat A321neo turut memberikan keselesaan yang optimum kepada para tetamu.

Penukaran 13 baki tempahan pesawat A320 kepada A321neo menjadikan jumlah tempahan pesawat A321neo AirAsia kepada 362 pesawat.

Pesawat-pesawat ini akan diperuntukkan kepada syarikat-syarikat penerbangan di bawah AirAsia Group berdasarkan permintaan hingga tahun 2035, seperti yang dipersetujui antara AirAsia dan Airbus.

AirAsia menerima pesawat pertama A321neo pada November 2019 dan buat masa ini mengendalikan sejumlah empat pesawat jenis A321neo.

Kini, AirAsia Group mempunyai sejumlah 211 pesawat yang terdiri daripada 169 pesawat A320, 38 pesawat A320neo dan 4 pesawat A321neo.

Bo Lingam, Presiden (Penerbangan) AirAsia Group berkata, syarikat itu telah mengkaji strategi rangkaian dan jenis pesawat secara menyeluruh untuk menawarkan perkhidmatan penerbangan di laluan paling popular dan menguntungkan dalam persiapan untuk memulakan kembali penerbangan di seluruh rangkaiannya.

”Model perniagaan kami tetap teguh dan permintaan perjalanan kini semakin meningkat. Jadi, kami yakin bahawa syarikat penerbangan kami akan pulih sebaik sahaja sekatan perjalanan dibuka.

“Ini adalah hasil perbincangan dan kerjasama rapat kami dengan Airbus. Transformasi pesawat kami kepada A321 sepenuhnya akan memperkukuhkan lagi struktur kos rendah bagi operasi kami,” katanya.

Pesawat Airbus A321neo adalah peneraju dalam kategorinya dan ia akan membolehkan AirAsia memenuhi permintaan di seluruh rangkaian dengan kecekapan operasi yang lebih tinggi dan penjimatan bahan bakar lebih daripada 10%.

Pesawat A321neo juga mempunyai 50 tempat duduk tambahan dan ruang kargo yang lebih besar, yang akan membolehkan AirAsia mengurangkan lagi kos untuk tempat duduk tersedia bagi setiap kilometer (ASK) di seluruh kumpulan, seterusnya menjadikan tambang udara lebih rendah.

Pesawat A321neo akan menggantikan semua pesawat A320 AirAsia pada masa hadapan, yang akan memberikan manfaat kelestarian yang ketara melalui penjimatan bahan bakar dengan pengurangan kira-kira 5,000 tan pelepasan gas karbon dioksida (CO2) bagi setiap pesawat pada setiap tahun, selain mengurangkan pelepasan gas nitrogen oksida (NOx) sehingga dua digit dan bunyi enjin yang lebih senyap.

Christian Scherer, Ketua Pegawai Komersial Airbus dan Ketua Airbus International berkata: “Kami berbesar hati kerana telah mencapai perjanjian ini dengan AirAsia, rakan kongsi yang telah lama bekerjasama dengan kami.

”Ini merupakan satu lagi sokongan terhadap A321neo sebagai pesawat lorong tunggal paling cekap dan popular di dunia. Ini juga merupakan contoh bagaimana Airbus bekerjasama dengan pelanggan kami untuk mencari jalan penyelesaian yang sesuai dengan kesan pandemik ini,” katanya. – MalaysiaGazette