Lelaki berpakaian seragam tentera yang masuk ke dalam kedai vape memegang dan menghisap jari tangan seorang pekerja gadis muda ketika berseorangan dalam kejadian di taman Keramat Ampang semalam sudah ditahan polis.

KUALA LUMPUR – Anggota tentera yang disyaki mencabul seorang wanita di sebuah kedai vape di Taman Keramat dekat sini direman selama empat hari sehingga Ahad ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak itu ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya sekitar pukul 12.30 tengah malam tadi.

“Suspek seorang lelaki warga tempatan berusia 26 tahun di tahan di sebuah rumah di Taman Setiawangsa.

“Suspek yang bertugas di cawangan Tentera Darat, Kem Batu Kentonmen direman selama empat hari sehingga Ahad,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohamad Farouk, anggota terbabit telah berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia selama tujuh tahun dan ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas suspek mendapatinya negatif dadah.

Katanya, turut dirampas kelengkapan pakaian seragam yang dipercayai dipakai ketika kejadian.

“Siasatan lanjut masih diteruskan,” ujarnya.

Semalam, media melaporkan polis sedang mengesan seorang lelaki dipercayai anggota tentera yang terbabit dalam kes cabul seorang wanita di sebuah kedai vape di Taman Keramat dalam kejadian pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa berusia 18 tahun yang juga pekerja kedai vape terbabit pada mulanya didatangi seorang lelaki berpakaian tentera mahu membeli barangan vape.

Suspek dikatakan mengambil kesempatan memegang tangan mangsa dan kemudian turut menjilat jari mangsa ketika sedang menyerahkan pod vape. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

‘Abang askar’ hisap jari pekerja kedai vape