KUALA LUMPUR – Skuad bola sepak negara dibelasah Jordan 4-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium King Abdullah II, Amman, Jordan malam tadi.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe jelas bukan tandingan buat Jordan apabila sering diasak pasukan tuan rumah sepanjang permainan.

Malah Harimau mempamerkan aksi longlai apabila turun tanpa ramai tonggak utama yang beraksi pada kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, Jun lalu.

Jordan yang menduduki ranking ke-93 dunia menamatkan babak pertama dengan kedudukan selesa selepas mendahului dua gol hasil jaringan Ali Olwan pada minit ke-34 dan Odai Al-Saify minit ke-42.

Tidak sampai lima minit selepas bersambung babak kedua, Ali berjaya melengkapkan hatrik apabila penyerang berusia 21 tahun itu meledak dua gol pantas pada minit ke-47 dan ke-49.

Cheng Hoe membawa masuk beberapa pemain muda termasuk Luqman Hakim Shamsudin, Hakimi Abdullah dan Mukhairi Ajmal Mahadi pada babak kedua, namun kedudukan 4-0 kekal memihak Jordan.