Aaron Ago Dagang

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Peguam Negara bersetuju untuk memansuhkan Akta 309 Kanun Keseksaan iaitu bunuh diri sebagai kesalahan jenayah.

Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, perkara tersebut kini dalam peringkat untuk dibawa ke Jemaah Menteri.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan strategi jangka panjang dalam usaha mencegah masalah kesihatan mental masyarakat bagi memastikan peningkatan kesejahteraan dan mengurangkan kejadian bunuh diri.

“Bunuh diri sebagai satu kesalahan jenayah sudah lama dibincangkan dan saya difahamkan setakat ini KDN dan AGC sudah setuju untuk memansuhkan Seksyen 309 berkait bunuh diri sebagai satu kesalahan jenayah.

“Peringkat sekarang ia akan dibawa ke Jemaah Menteri dan seterusnya untuk membuat pindaan supaya kesalahan bunuh diri tidak akan disabit kesalahan jenayah lagi,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen (Pas-Kemaman) Tuan Che Alias Hamid berhubung perkembangan terkini mengenai undang-undang kesalahan bunuh diri.

Terdahulu, ketika menjawab soalan sama Aaron berkata, KKM melaksanakan strategi jangka panjang dalam usaha mencegah masalah kesihatan mental masyarakat bagi memastikan peningkatan kesejahteraan dan mengurangkan kejadian bunuh diri.

Bagi tujuan itu katanya, KKM membangunkan Pelan Strategik Kebangsaan Kesihatan Mental (2020-2025) yang akan dilancarkan pada 10 Oktober ini sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia.

Jelas beliau, ia menggariskan strategi yang jelas bagi mencegah isu tingkah laku bunuh diri dan memfokuskan kepada kolaborasi antara agensi kerajaan, swasta dan NGO bagi mempromosikan kesihatan mental kepada kumpulan sasar, meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan mental, meningkatkan strategi pencegahan bunuh diri dan kesiapsagaan kesihatan mental dalam menghadapi kecemasan, krisis dan bencana.

“KKM turut melaksanakan perkhidmatan sokongan kesihatan mental dan psikososial menerusi Pengukuhan Talian Bantuan Sokongan Psikososial yang diwujudkan oleh KKM dengan kerjasama NGO bagi meningkatkan akses terhadap liputan perkhidmatan kesihatan mental dan sokongan psikososial bagi membantu individu yang memerlukan sokongan semasa pandemik Covid-19.

“Pertambahan pegawai psikologi kaunseling dan pegawai kerja sosial di peringkat komuniti bagi mengukuhkan perkhidmatan kesihatan mental, pencegahan keganasan dan kecederaan serta penyalahgunaan substans. Telah meluluskan 200 pegawai di setiap daerah untuk tugasan ini,” ujarnya.

Menurut Aaron, KKM turut melaksanakan advokasi kesihatan mental kepada kumpulan sasar dan masyarakat secara menyeluruh merentas agensi dan secara bersepadu termasuk melibatkan media massa, media sosial dan pihak berkepentingan.

Turut dilakukan kata beliau, mengukuhkan program kesihatan mental di peringkat komuniti menerusi perkhidmatan di klinik kesihatan yang meliputi aktiviti promosi dan pengesanan awal melalui saringan bagi mengesan awal tahap stres, keresahan dan kemurungan serta individu yang berisiko mengalami masalah kesihatan mental serta pelaksanaan intervensi.

KKM juga katanya, telah menyediakan perkhidmatan saringan dan rawatan bagi masalah kesihatan mental di 60 buah hospital-hospital kerajaan, 1,161 buah klinik kesihatan di peringkat kesihatan primer dan 28 buah Pusat Komuniti Kesihatan Mental (MENTARI).

Tambahnya, turut dilakukan adalah meningkatkan kemahiran pengendalian tingkahlaku bunuh diri dengan melaksanakan latihan secara berterusan kepada ‘first-line responders’ seperti anggota kesihatan, anggota polis dan anggota bomba.

“Mempergiatkan sesi libat urus (engagement) dengan pelbagai kementerian dan agensi seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Luar Negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan NGO.

“KKM membincangkan pengukuhan program (contohya: Program Minda Sihat KPM) dan peranan mereka di dalam mengendalikan isu permasalahan kesihatan mental dan isu tingkah laku bunuh diri secara bersepadu,” jelasnya. – MalaysiaGazette