Awang Hashim Ministry of Human Resources RM500 incentive minimum wage RM1,200
Awang Hashim

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah menambahbaik insentif Malaysianization melalui Pakej PEMULIH dengan mengurangkan had kelayakan insentif daripada paras gaji RM1,500 kepada RM 1,200 agar dapat mendorong majikan untuk menyertai program ini terutamanya majikan dari kategori kecil dan sederhana.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, dengan pengurangan had kelayakan ini, pekerja yang menerima gaji sebanyak RM1,200 akan turut mendapat manfaat insentif tambahan RM500 atau 20% daripada gaji bulanan yang ditawarkan.

Malaysianization atau Program Insentif Penggantian Jawatan Pekerjaan Asing yang ditawarkan kepada perkerja tempatan bagi menggalakkan pengambilan tenaga kerja tempatan dan mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing.

”Melalui program ini, pekerja layak menerima insentif tambahan sebanyak RM500 atau 20% daripada gaji bulanan (yang mana lebih tinggi).

”Sebagai contoh, sekiranya tawaran gaji adalah RM1,500 pekerja akan diberi insentif RM500 menjadikan jumlah gaji kasar sebanyak RM2,000,” jelas beliau.

Awang berharap penjelasan dapat menerangkan isu yang timbul daripada sesi perbahasan di Dewan Rakyat pada tempoh hari.

”Saya juga menekankan bahawa pernyataan yang diberikan tidak bersangkut paut dengan penetapan kadar gaji minimum sebanyak RM 1,200 sebulan melalui Perintah Gaji Minimum 2020 yang masih lagi sedang berkuatkuasa,” ujarnya.

Menurut beliau, had kelayakan insentif ini telah ditetapkan kepada pemberian gaji pekerja pada paras minimum RM1,500 bagi majikan yang menyertai program ini. – MalaysiaGazette