Antara barangan kelengkapan polis yang dirampas susulan tangkapan seorang suspek di Kampung Klang Gate Bharu pada Khamis.

KUALA LUMPUR – Seorang pembersih hotel ditahan kerana memiliki peralatan dan kelengkapan polis menerusi serbuan di sebuah rumah di Kampung Klang Gate Bharu pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, lelaki warga tempatan berusia 40 tahun itu ditahan sepasukan polis yang diketuai oleh Ketua Balai Polis Taman Melawati kira-kira pukul 7.26 malam.

“Hasil pemeriksaan ke atas telefon bimbit suspek menemui dokumen yang menyerupai kad kuasa polis.

“Manakala pemeriksaan lanjut di dalam rumah suspek telah menemui pelbagai peralatan seperti vest berwarna hijau tertera tulisan polis, sehelai baju dan seluar polis lelaki berwarna biru gelap, sebilah pedang samurai sepanjang 95 sentimeter, satu unit lencana, satu lencana kolar Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta satu pelekat PDRM,” katanya kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Farouk berkata, semasa tangkapan dibuat suspek berada di rumah bersama dua anak lelaki berusia sembilan dan 11 tahun manakala isterinya keluar bekerja.

Ujar beliau, semakan lanjut mendapati suspek mempunyai 19 rekod jenayah lampau membabitkan samun, pecah rumah dan menyamar polis serta dadah.

“Setakat ini polis telah dapat menyelesaikan tiga kes di daerah Gombak dan satu di daerah Ampang berkait tangkapan yang dibuat.

“Suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula semalam sehingga Selasa bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya.

Mohamad Farouk berkata, hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Kes disiasat mengikut Seksyen 89 Akta Polis 1967 kerana memiliki peralatan polis dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette