Gabenor BNM
Nor Shamsiah Mohd Yunus

KUALA LUMPUR – Proses pembayaran oleh syarikat teknologi gergasi (Big Tech) di Malaysia telah meningkat lebih kurang 170 peratus sejak pandemik bermula disebabkan permintaannya yang bersifat sejagat, selain daripada kerumitan dan halangan kepercayaan yang lebih rendah, kata Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Beliau memberitahu, dasar pembangunan juga telah memudahkan kemasukan proses pembayaran syarikat-syarikat gergasi ini termasuk dasar-dasar yang mendorong saling boleh kendali melalui infrastruktur nasional yang sama dan dasar masuk terbuka bagi pendatang baharu dalam rangkaian pembayaran.

“Proses pembayaran syarikat-syarikat teknologi gergasi ini telah melangkaui pertumbuhan keseluruhan e-pembayaran sekitar 20 peratus. Bagaimanapun, daripada segi nilai, ia hanya menyumbang sebahagian kecil daripada keseluruhan nilai e-pembayaran iaitu di bawah 0.2 peratus.

“Perbankan dalam talian tetap menjadi kaedah dominan untuk memindahkan nilai secara digital di Malaysia, sementara di luar pembayaran, sejauh mana gangguan syarikat teknologi gergasi ini dalam perkhidmatan kewangan lain masih lagi terhad,” katanya semasa acara maya ‘Persidangan Kawalan Syarikat Teknologi Gergasi’ ‘Bank Penyelesaian Antarabangsa (BIS)’ baru-baru ini.

Impak syarikat-syarikat teknologi besar ini terhadap pasaran adalah dalam pelbagai aspek dan bergantung kepada faktor-faktor seperti demografi, jurang pasaran, kekuatan penyandang serta kepuasan pengguna, antara lain.

“Kami melihat bahawa  penyertaan yang lebih tinggi keterangkuman kewangan serta institusi kewangan penyandang yang mantap dan kompetitif setakat ini telah menyempitkan potensi gangguan syarikat-syarikat teknologi gergasi,” katanya.

Katanya, dengan munculnya model perniagaan baharu, bank pusat mendapati dirinya harus bertindak balas terhadap gangguan polisi, yang bertambah apabila ia melibatkan parameter peraturan yang tidak jelas atau pertindihan di kalangan pihak berkuasa lain.

“Ini memaksa bank pusat untuk bertindak sebagai penyokong ke atas tindak balas dasar yang lebih holistik oleh pentadbiran awam secara meluas.

“Bagi Malaysia, ini termasuk penyediaan perkhidmatan yang melampaui batas peraturan seperti aset digital, yang memerlukan koordinasi di antara pihak berkuasa yang berbeza, jadi kami telah bekerjasama dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia mengenai hal ini untuk menjelaskan bidang pengawasan masing-masing berdasarkan kes penggunaan.

“Ini telah mempromosikan pendekatan yang lebih meluas dalam mengatur aset digital dengan pengaturan bersama untuk mencerminkan polisi yang sama dalam menguruskan risiko dari pelbagai pengguna digital,” kata Nor Shamsiah.

Beliau turut menunjukkan kemunculan model perniagaan di luar skop peraturan yang ada yang dapat bersaing dengan perbankan konvensional, terutama dasar ‘beli sekarang, bayar kemudian’ dalam pemberian pinjaman runcit.

“Apa yang kami lakukan adalah dengan memperkenalkan Akta Kredit Pengguna kerana pertumbuhan ini yang berlaku di luar sektor perbankan boleh membahayakan pengguna kewangan, oleh itu kami harus memastikan bahawa ada perlindungan dan perlakuan adil terhadap peminjam,” katanya. – MalaysiaGazette