Mohd Farid Mohd Noor
Mohd Farid Mohd Nor

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO berpegang teguh kepada janji dan keputusan badan perhubungan parti di negeri itu untuk terus mempertahankan Muafakat Nasional (MN) bersama Pas.

Sehubungan itu, ketuanya, Mohd Farid Mohd Nor menasihatkan semua ahli sayap parti itu bertenang dan meneruskan segala aktiviti serta program yang telah dirancang dan sedang dalam pelaksanaan seperti biasa.

“Sehingga kini, hubungan antara UMNO dan Pas di Pahang masih berdasarkan persefahaman dan perjanjian yang telah ditandatangi serta dipersetujui kedua-dua pihak.

“Atas asas itu, Pemuda UMNO Pahang akan terus berperanan agar hubungan itu dapat dipelihara, lebih lagi segalanya bermula sewaktu kedua parti itu bersama mengharungi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands pada 2019,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan sebuah portal politik yang melaporkan, Perikatan Nasional (PN) Cameron Highlands sedia bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di kawasan itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15).

Pengerusi PN Kawasan, Dr. Abdul Rasid Ali dilaporkan berkata, keputusan itu telah mendapat kesepakatan bersama selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Pas dan Gerakan parlimen itu mengadakan mesyuarat secara bersemuka malam tadi.

Berdasarkan mesyuarat itu, PN telah mendapat kata sepakat mengenai penetapan calon bagi PRU 15 iaitu kerusi Parlimen akan dotandingi oleh PPBM, manakala DUN Tanah Rata diwakili Gerakan serta DUN Jelai ditandingi Pas.

Menurut Mohd Farid, beliau telah menghubungi rakan sejawat dari Pas Pahang petang tadi untuk mendapatkan pengesahan itu.

Katanya, berdasarkan maklum balas itu, Pemuda Pas Pahang mendakwa belum mendapat sebarang maklumat mengenai berita tersebut dan turut melahirkan rasa terkejut atas tulisan yang kini viral di kalangan pemerhati serta penggiat politik di Pahang.

Berdasarkan laporan itu, Pas akan bertanding melawan penyandang DUN Jelai iaitu Menteri Besar yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. – MalaysiaGazette