Wong Kim Choong

KUALA LUMPUR – UOB Bank Malaysia masih membuka permohonan Program Bantuan COVID-19 UOB untuk individu, perusahaan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Manakala di bawah pakej bantuan PEMULIH, pelanggan boleh memilih antara moratorium ansuran enam bulan atau pengurangan 50 peratus dalam ansuran pembayaran bulanan untuk enam bulan.

UOB Bank berkata, program Bantuan COVID-19 UOB Malaysia telah memanfaatkan lebih 33,000 pelanggan individu, perusahaan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sejak bermulanya pandemik Covid-19.

Setakat 24 September 2021, bantuan melebihi RM23.8 bilion telah diberikan kepada pelanggan bagi membantu mereka menangani kesan kewangan diakibatkan oleh sekatan pergerakan yang berpanjangan.

Ia secara proaktif membantu pelanggan yang terjejas di bawah program bantuannya melalui pelbagai bentuk moratorium pembayaran balik kewangan dan bantuan pembayaran tersasar sejak peringkat awal pandemik pada Mac 2020.

Malah, UOB Bank juga telah menyemak semula bantuan pembayaran balik dalam usaha menyokong pelbagai inisiatif yang diumumkan oleh kerajaan sepanjang 2020 dan 2021.

Pada Julai 2021, UOB Malaysia meningkatkan lagi Program Bantuan COVID-19 selaras dengan pakej bantuan PEMULIH Kerajaan

Ketua Pegawai Eksekutif, UOB Malaysia, Wong Kim Choong berkata, bank ini menyaksikan peningkatan 120 peratus dalam jumlah pelanggan individu, perniagaan mikro dan PKS yang memohon bantuan antara Jun dan September 20213.

”Walaupun dengan lonjakan dalam jumlah permohonan sepanjang tiga bulan yang lepas, UOB masih mengekalkan hampir 100 peratus jumlah kelulusan pinjaman dan pembiayaan di bawah Program Bantuan COVID-19 Bank.

”Kami akan terus memberi sokongan kepada pelanggan yang memerlukan bantuan kewangan dalam usaha melindungi hidup dan kelangsungan hidup mereka dalam tempoh yang mencabar ini, meskipun menyaksikan pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur,” katanya. – MalaysiaGazette