Superintendan Kamarul menunjukkan motosikal yang menggunakan tayar sotong.

KUANTAN – Pengubahsuaian motosikal menggunakan tayar sotong antara kesalahan 48 buah motosikal yang disita dalam Op Samseng Jalanan di sekitar Jalan Pantai Sepat, Kuantan sejak petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Negeri Pahang, Superintendan Mohd Kamarul Jusoh @ Mohd Daud berkata, penggunaan tayar sotong digemari remaja walaupun tidak mengikuti piawaian ditetapkan, sekali gus memberi risiko terhadap  keselamatan penunggang.

“Tayar sotong antara citarasa penunggang anak muda ketika melakukan pengubahsuaian  motosikal, selain daripada, menggunakan ekzos yang bising sehingga mengundang ketidakselesaan orang ramai berkunjung ke Pantai Sepat.

“Sebanyak 189 Saman telah dikeluarkan kepada 60 lelaki dan 20 perempuan berusia lingkungan umur 13 tahun hingga 31 tahun, manakala lima daripada mereka di bawah umur.

“Sejumlah 65 kenderaan telah diperiksa, 48 daripadanya telah disita dan disiasat di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pemeriksaan kepada 80 individu yang ditahan dalam op samseng

Antara kesalahan yang dikesan seperti tidak mempunya lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, mengubah suai plat nombor kenderaan, tidak memakai topi keledar dan pelbagai kesalahan lain.

Tambahnya operasi dijalankan dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan Trafik Daerah melibatkan enam pegawai dan 24 anggota dari Kuantan, Rompin, Temerloh, Maran, Lipis tamat jam 10 malam tadi.

Dalam pada itu, Kamarul menggesa ibu bapa memantau pergerakan anak-anak terutamanya ketika anak mereka menunggang motosikal di kawasan perumahan.

“Kebanyakan remaja tidak mempunyai lesen memandu dan lebih teruk apabila menunggang motosikal berkumpulan dengan tidak memakai topi keledar hingga  membahayakan nyawa sendiri dan pengguna jalan raya.

“Orang ramai juga boleh membuat aduan kepada balai polis terdekat atau berhubung menerusi Facebook bagi memberikan informasi kegiatan jenayah kepada pihak berkuasa,”. – MalaysiaGazette