Gelagat murid tahun satu pada hari pertama sesi persekolahan baru ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Khai Chee, Segambut. Foto HAFIZ SOHAIMI, 01 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Tahap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat bergantung kepada sikap individu terhadap amalan penggunaan bahasa tersebut.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin berkata, walaupun terdapat pelbagai aliran sekolah iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan SJK Tamil, namun murid-murid di sekolah aliran itu masih dapat menguasai bahasa berkenaan dengan baik.

Sebagi contoh, kata beliau, ramai yang mampu berbahasa Melayu walaupun mereka berbangsa Tionghua atau pun India.

“Dalam dewan yang mulia ini, ada beberapa Yang Berhormat sangat fasih berbahasa Melayu. Contohnya Yang Berhormat Ayer Hitam, Menteri Pengangkutan.

“Cukup baik bahasa Melayunya. Sama juga dengan Timbalan Menteri Kementerian Pendidikan Malaysia. Cukup fasih dalam bahasa Melayu,” katanya di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) yang minta Menteri Pendidikan Kanan menyatakan sejauh mana perancangan kementerian dalam meneruskan usaha untuk melaksanakan hanya satu aliran sekolah sahaja iaitu sekolah kebangsaan bagi memastikan tiada lagi masyarakat di dalam negara yang tidak fasih berbahasa Malaysia.

Mohamad menambah, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) masih mengekalkan dasar sedia ada berdasarkan Seksyen 17 Akta Pendidikan 1996 yang memperuntukkan bahasa kebangsaan menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam sistem pendidikan Kebangsaan kecuali di SJK yang ditubuhkan di bawah Seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan oleh menteri daripada subseksyen itu.

“Jika bahasa pengantar utama di sesuatu institusi pendidikan adalah selain bahasa kebangsaan, bahasa kebangsaan hendaklah diajarkan sebagai mata pelajaran wajib di institusi pendidikan itu,” katanya.

Mohamad menegaskan, bagi memastikan murid fasih berbahasa Melayu, KPM melaksanakan Pelan Hala Tuju Memartabatkan Pendidikan Bahasa Melayu 2016-2025 melalui strategi pemerkasaan bahasa Melayu bagi memastikan murid di institusi KPM menguasai bahasa Melayu.

Jelas beliau, institusi pendidikan swasta yang berdaftar dengan KPM juga digalakkan untuk melaksanakan strategi pemerkasaan bahasa Melayu dalam pelan hala tuju tersebut. – MalaysiaGazette