KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat pagi diberitahu, tempoh lapan tahun bagi kajian semula persempadanan Sarawak akan berakhir pada 2023, diikuti Sabah 2025 dan negeri Tanah Melayu iaitu Semenanjung pada tahun 2026.
Bagaimanapun, jika Perlembagaan Persekutuan dipinda, sama ada penambahan atau pengurangan kerusi dewan atau pewujudan wilayah baharu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu melaksanakan urusan kajian persempadanan semula itu dalam tempoh dua tahun daripada tarikh pindaan undang-undang berkuat kuasa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, urusan kajian semula persempadanan adalah pembahagian sempadan bahagian pilihan raya sedia ada bagi mengesyorkan apa-apa perubahan yang difikirkan perlu berdasarkan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.
Kata beliau, Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan pula memberi kuasa kepada SPR melaksanakan kajian semula sempadan setiap bahagian pilihan raya di negara ini yang terbahagi kepada tiga unit berasingan mengikut undang-undang Fasal (6) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.
“Tiga unit ialah pertama, Unit Negeri-Negeri Tanah Melayu (termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya); kedua, Unit Negeri Sabah; dan ketiga, Unit Negeri Sarawak.
“Urusan kajian semula persempadanan ini bermula mengikut keadaan seperti tamat tempoh tidak kurang lapan tahun daripada tarikh siapnya urusan kajian itu sebelumnya.
“Namun, jika berkaitan dengan peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan, SPR boleh memulakan urusan itu selepas tamat tempoh tidak kurang lapan tahun daripada tarikh siapnya urusan kajian semula sebelumnya,” katanya dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Parlimen, hari ini.
Wan Junaidi menjelaskan, sekiranya SPR memulakan urusan berkenaan, ianya perlu diselesaikan dalam tempoh dua tahun.
Beliau berkata, secara dasarnya, setiap pemilih akan mengundi berdasarkan bahagian pilihan raya yang telah ditetapkan.
Namun, katanya, jumlah pemilih dalam sesuatu bahagian yang lebih kurang sama banyak turut mengambil kira faktor seperti kesulitan, kesukaran perhubungan, pengangkutan, keluasan kawasan, demografi serta bentuk geografi.
“Setiap bahagian adalah unik dan berbeza dari segi demografi, keluasan kawasan dan bentuk geografi. Setiap satu bahagian tidak boleh disamakan atau dibandingkan dengan bahagian yang lain,” katanya. – MalaysiaGazette
















