Pakatan Harapan PH flag Sarawak state election polls
Pakatan Harapan

KUALA LUMPUR – Majlis Presiden Pakatan Harapan (MPPH) menolak cadangan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Melaka untuk menamakan Datuk Seri Sulaiman Md. Ali sebagai Ketua Menteri yang mengetuai kerajaan caretaker negeri itu.

Dalam kenyataan bersama, MPPH berkata, Sulaiman sudah jelas hilang sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka sebelum DUN itu dibubarkan dan tidak lagi mampu mengetuai kerajaan negeri.

“Kita meneliti kenyataan SUK (Setiausaha Kerajaan Negeri) Melaka semalam, khusus berhubung penamaan Sulaiman sebagai Ketua Menteri yang mengetuai kerajaan caretaker Melaka.

“Dalam kenyataan itu, SUK mengakui Perlembagaan Negeri Melaka tidak memperuntukkan fungsi dan peranan sebuah kerajaan caretaker dan seterusnya merujuk konvensyen sistem demokrasi berparlimen di negara Komanwel.

“Penting ditegaskan, bahawa PH menolak pembubaran DUN sebagai tidak berperlembagaan taktala negeri Melaka masih menghadapi wabak Covid-19 dan adanya gabungan parti yang mendapat sokongan majoriti ADUN,” katanya dalam kenyataan kepada media petang ini.

Kenyataan MPPH itu ditandatangani bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dari PKR, Mohamad Sabu (Amanah), Lim Guan Eng (DAP) dan Datuk Seri Madius Tangau (UPKO).

Menurut kenyataan itu, perbincangan sepatutnya diadakan terlebih dahulu antara SUK Melaka, blok majoriti yang diketuai Adly Zahari bersama blok Datuk Seri Idris Haron dan blok minoriti diketuai Sulaiman sebelum menamakan sesiapa untuk memegang jawatan tersebut.

Malah, katanya, seperti berlaku di Perak pada 2009 mahupun Melaka itu sendiri pada 2020, seharusnya blok majoriti diberi peluang mengetuai pentadbiran negeri.

“PH mengulangi pendirian bahawa PRN tidak patut diadakan pada waktu ini demi mengelak berlakunya gelombang keempat penularan wabak Covid-19.

“Darurat juga tidak sesuai memandangkan ia akan menimbulkan kegusaran di kalangan pelabur pada ketika usaha menghidupkan semula ekonomi negara sedang diperhebat,” kata kenyataan itu.

Oleh itu, tegas MPPH, perbincangan perlu diadakan agar semua pihak memastikan Perlembagaan Negeri Melaka ditegakkan dan dihormati dengan mewajibkan mana-mana kerajaan termasuk kerajaan caretaker diwakili golongan majoriti ADUN-ADUN. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Sulaiman ketuai kerajaan sementara Melaka – SUK