Bantuan Kehilangan Pendapatan BKP RM500 Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Penularan jangkitan Covid-19 di tempat kerja antara risiko keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang menuntut kerajaan, majikan dan pekerja mengambil langkah pencegahan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, akibat pandemik itu, semua aspek pekerjaan menerima kesan yang memaksa kerajaan mengharungi peralihan secara drastik kepada norma baharu bekerja dari rumah dengan peningkatan aktiviti dalam talian.

Kata beliau, daripada sudut positif, senario baru itu membuka banyak peluang bagi warga pekerja dengan definisi tempat kerja juga akan menjadi semakin kabur apabila pekerja tidak berada di pejabat.

“Oleh itu, semakin ramai beroperasi dari rumah apabila kebanyakan komunikasi, mesyuarat dan transaksi kewangan dilakukan secara maya.

“Apa membimbangkan, perubahan ini mendedahkan pekerja kepada risiko keselamatan dan kesihatan seperti masalah berkaitan ergonomik, yang antara lainnya berkait dengan postur badan ketika menggunakan komputer atau gajet.

“Pekerja terlalu lama terkurung di rumah juga terdedah kepada masalah psikososial terutama tekanan mental dan kelemahan interaksi sosial dan situasi ini menuntut kerajaan mengambil tindakan afirmatif memastikan persekitaran kerja yang sihat, selamat dan kondusif terus diwujudkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negeri 2021-2025 (OSH-MP-25) secara atas talian, hari ini.

Turut serta, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan; timbalannya, Datuk Awang Hashim; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd. Rahman.

Menurut Ismail Sabril, komitmen kerajaan melindungi sumber manusia berpaksikan prinsip Inklusiviti dan Budaya Kerja Selamat menerusi pelaksanaan strategi jangka panjang sistem pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa 2006.

Katanya, antara inisiatif penting bagi meningkatkan sistem pengurusan KKP ialah Dasar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2019 dan Sistem Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara.

Menurut beliau, bagi mendepani cabaran, Kementerian Sumber Manusia melalui Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah merangka OSH-MP-25.

Pelan Induk Jangka Sederhana selama lima tahun itu adalah kesinambungan pelan sama sebelum ini yang bertujuan menerapkan nilai inklusif bagi menggalakkan penyertaan semua pihak bertepatan dengan transformasi sistem KKP di seluruh negara.

Pelan itu menggariskan tujuh Teras Strategik yang menjadi pemacu kepada pembentukan ‘Budaya Kerja Selamat dan Sihat’ serta membantu meningkatkan Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia.

Tujuh teras itu ialah, Pemerkasaan KKP di sektor awam, Pengukuhan amalan peraturan kendiri di tempat kerja, Penggalakan pendidikan & penyelidikan KKP, Pemerkasaan kesihatan pekerjaan, Peningkatan pematuhan KKP di sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS), Pemantapan KKP melalui teknologi; dan Peningkatan KKP berkaitan jalan raya, sektor informal dan pekerjaan masa hadapan.

“Pelan ini akan meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan di tempat kerja dengan mengurangkan kadar kemalangan, kematian dan  jangkitan penyakit, sekali gus membantu usaha kerajaan meningkatkan tahap kesejahteraan rakyat.

“Pelan ini dirangka setelah mengambil kira senario pekerjaan kini yang telah berubah. Hari ini, ruang rumah setiap ahli Keluarga Malaysia sudah menjadi ruang pekerjaan, begitu juga di kafe, gerai dan restoran.

“Oleh itu, tujuh Teras Strategik yang mengamalkan budaya kerja selamat ini amat mustahak untuk dipatuhi oleh kita semua,” katanya.

Beliau berkata, kesan langsung akibat pengabaian KKP ini, negara boleh mengalami kerugian sebanyak 4 peratus daripada perolehan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setahun.

Namun, kata Ismail Sabri, apa yang lebih diutamakan kerajaan ialah untuk mengelakkan kehilangan nyawa ahli Keluarga Malaysia. – MalaysiaGazette