KUANTAN – Tidak semua bayi dilahirkan dapat menikmati susu ibu disebabkan beberapa kekangan termasuk dilahirkan pramatang sedangkan khasiat susu ibu amat diperlukan untuk membantu proses tumbesaran.

Prihatin dengan masalah tersebut, Pusat Susu Bonda Halimatussaadia di Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah (SASMEC) @ IIUM Kuantan di Pahang ditubuhkan khusus untuk membantu bayi-bayi pramatang yang tidak mendapat khasiat susu ibu yang mencukupi.

MalaysiaGazette baru-baru ini berpeluang melihat sendiri situasi bayi-bayi pramatang yang dirawat di Unit Rawatan Intensif Neonatal (NICU) di SASMEC @IIUM Kuantan.

Ada di antara mereka dilahirkan dengan berat kurang 500 gram.

Pakar Neonatal SASMEC @ IIUM, Dr. Syed Abdul Khaliq Syed Abdul Rahman berkata, permintaan susu untuk bayi-bayi pramatang di NICU berkenaan sangat tinggi malah ada bayi yang terpaksa dipuasakan berikutan kekurangan susu badan.

Dr. Syed Abdul Khaliq Syed Abdul Rahman
Dr. Syed Abdul Khaliq Syed Abdul Rahman

“Bayi-bayi ini berisiko untuk mendapat penyakit seperti ‘Necrotizing Enterocolitis’. Jadi, jangkitan kuman pada ususnya sangat tinggi.

“Sebahagian bayi berisiko tinggi atau pramatang, di mana ibunya mempunyai masalah darah tinggi, ‘abnormal doppler’ sebelum melahirkan dan bayi-bayi ini sangat memerlukan susu ibu sahaja,” tambah Dr. Syed yang menyambut baik inisiatif penubuhan Pusat Susu Bonda Halimatussaadia.

Bagaimanapun, beliau berpendapat masih ramai ibu-bapa yang belum terbuka menerima idea perkongsian susu ibu, meskipun dalam keadaan bayi yang benar-benar memerlukan.

Dalam pada itu, Pakar Perubatan keluarga/Perunding Laktasi SASMEC @ IIUM, Dr. Nurjasmine Aida Jamani yang menyelia proses penghasilan susu ibu untuk didermakan pula menjelaskan, langkah penyediaan yang sangat teliti perlu dipatuhi.

Dr. Nurjasmine Aida Jamani

Katanya setiap bekalan susu yang dihantar kepada Pusat Susu Bonda Halimatussaadia ini mestilah diasingkan mengikut setiap individu yang menderma dan melalui ujian ‘microbiology’ untuk memastikan susu tidak tercemar, kemudian melalui proses membasmi kuman sebelum disimpan dalam peti sejuk beku.

“Apabila sesorang ibu itu datang membawa sus, susu yang diperah itu tidak lebih daripada tiga bulan,” jelas Dr. Nurjasmine mengenai syarat penderma yang ingin menghantar susu yang ingin didermakan.

Beliau juga memaklumkan antara syarat utama untuk mendermakan susu adalah wanita tersebut perlu mendapat keizinan suami.

Selain pemprosesan yang teliti, Pusat Susu Bonda Halimatussaadia telah membina satu sistem khusus untuk memastikan bahawa dokumentasi penderma dan penerima adalah dilakukan dengan betul kerana ia melibatkan hukum fiqah yang sangat rumit.

Proses ini penting untuk memastikan tidak berlakunya percampuran nasab, selari dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali ke-97 pada 2011 yang menetapkan kedua-dua keluarga penderma dan penerima susu ibu dermaan perlu saling berkenalan.

Sementara itu, Pegawai Syariah SASMEC @ IIUM, Abdul Rahman Al-Azmi berkata, setiap penderma susu perlu melalui sesi kaunseling dan penerangan berkenaan implikasi daripada sudut hukum pendermaan susu. Menurutnya, proses pendermaan adalah mengikut syarat-syarat yang ditetapkan Majlis Fatwa Negeri Pahang.

Abdul Rahman Al-Azmi
Abdul Rahman Al-Azmi

“Kita akan bagi pilihan, kalau nak jadi keluarga susuan, begini caranya. Kalau tidak, macam ni caranya. Dan jika tak mahu menjadi keluarga susuan, kita maklumkan akan bagi setakat 3 kali susu sahaja,” Ustaz Abdul Rahman menjelaskan prosedur yang perlu dilalui mereka yang terbabit.

Tambah  Abdul Rahman, menurut mazhab Syafie, jika bayi berkenaan diberi lima kali penyusuan sehingga kenyang daripada ibu susuan, maka dia dianggap menjadi pertalian persusuan.

Ini menjadikan pengoperasian Pusat Susu Bonda Halimatussaadia tidak dinafikan sangat patuh syariah dan menempa suatu sejarah baru dalam perjalanan penyusuan susu ibu di Malaysia.

Pakar Perubatan Ibu dan Janin SASMEC @ IIUM, Prof. Madya Dato’ Dr. Hamizah Ismail yang juga pengasas Pusat Susu Bonda Halimatussaadia menegaskan masyarakat secara umum perlu dimaklumkan bahawa perkongsian susu ibu dermaan adalah selamat namun perlu dilakukan secara formal.

Dr. Hamizah Ismail

“Di Malaysia, kalau kita tengok di Facebook dan Instagram, ramai penderma milk sharing yang menganggotai kumpulan milk sharing, ataupun kumpulan perkongsian susu ibu,” ulasnya yang menyedari ramai para ibu melakukan perkongsian susu secara diam-diam atau dalam kalangan ahli keluarga.

Perkembangan itu, jika diambil daripada sudut positif, menunjukkan ramai wanita yang terbuka untuk perkongsian susu.

Seperti dalam surah Al-Baqarah, ayat 233, “Janganlah seorang ibu menderita karena anaknya dan jangan pula seorang ayah (menderita) keranana anaknya. Ahli waris pun (berkewajiban) seperti itu pula. Apabila keduanya ingin menyapih dengan persetujuan dan permusyawaratan antara keduanya, maka tidak ada dosa atas keduanya.”

Mengambil sempena nama ibu susuan kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, Pusat Susu Bonda Halimatussaadia merupakan pusat bank susu ibu perintis yang patuh syariah.

Jelas Pengarah Hospital SASMEC @ IIUM, Prof Dato’ Dr. Mohamed Saufi Awang, penubuhan pusat bank susu ini menerapkan konsep sama seperti pusat tabung darah di mana ia bermanfaat kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Dr. Mohamed Saufi Awang
Dr. Mohamed Saufi Awang

“Jadi mengambil konsep yang sama, di mana pusat susu bonda ini akan menerima penderma-penderma atau ibu – ibu untuk menderma susu dan susu ini kemudiannya akan diproses, disimpan di ‘human milk bank’ ini dan kemudiannya susu ini akan diberi kepada bayi-bayi pramatang,” jelas beliau.

Justeru, beliau mengharapkan objektif penubuhan pusat susu bonda ini dapat diguna pakai oleh semua masyarakat agar bayi-bayi pramatang dapat terus mendapat bekalan susu yang berkhasiat, yang sangat penting bagi meningkatkan imuniti dan juga tumbesaran mereka.- MalaysiaGazette